Teguran bernas perlu didengar, demi perbaiki parti - Anwar
- Suara Keadilan
- 18 minutes ago
- 2 min read

KEADILAN berdiri kukuh sehingga ke hari ini dengan mengamalkan demokrasi dan kebebasan bersuara, pimpinan boleh ditegur dan menegur.
Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak wajar orang yang menegur atau ditegur diberi tanggapan serong kerana teguran itu demi kebaikan parti.
"Kita boleh tegur, tak setuju (tidak mengapa), tetapi percayalah orang tegur Rafizi, Izzah, yang tegur itu tak upaya nak saingi pengorbanan mereka berdua.
"Tegur (boleh) tetapi jangan lupa pengorbanan mereka. Tidak ramai yang boleh (sehebat mereka). Kalau terlanjur mohon maaf," katanya dalam ucapan Perasmian Kongres Nasional KEADILAN di Persada Johor International Convention Centre, malam ini.
Dalam pada itu, Anwar juga mengingatkan para pemimpin yang baharu masuk KEADILAN agar lebih mengenang jasa pemimpin lama yang telah berjuang sejak awal penubuhan parti.
"Orang yang masuk tiga empat tahun ini janganlah lebih lebih sangat. Beza orang ini tak bersetuju, dia mahu lebih idealistik. Dia tegur tetapi dia bukan khianat, dia nak perkuat parti.
"Pertandingan lalu itu (pemilihan 2018) lain. Dari awal dia dah mula bibit khianat, jangan samakan.
"Oleh demikian saya harap rakan rakan teruskan, hemah berbicara," ujarnya.
Perkara utama yang perlu dilihat dari pemimpin atau anggota, kata Anwar adalah kesetiaannya.
Selagi setia kepada perjuangan maka tidak ada masalah untuk membenarkan mereka mengkritik.
"Kita belajar dari kelemahan kita, dari pengalaman kita, kita beri sumbangan sebaiknya.
"Saya tidak bertanding pun belajar, pedih macam mana pun saya dengar, darah tinggi naik sikit pun makan ubat, tetapi percayalah kekuatan ini harus dijaga
"Kalau tanya saya mudah, saya masih pegang ketaatan saya kepada parti. Yang menang, yang tak menang, kalau tanya, saya akan pilih yang terbaik, saya akan rangkul (bersama)," katanya lagi.
Sebagai kesimpulan ucapannya, Datuk Seri Anwar berpesan agar anggota tidak terbawa bawa dengan budaya merosakkan dengan kehilangan nilai tidak bermoral, tamak dan haloba setelah berkuasa.
"Mari kita gilap idealisme perjuangan. Mari kita angkat martabat, parti negara dan rakyat," katanya.