Mahasiswa Pahang manfaat cuti Ramadan santuni golongan memerlukan
- Redzuan Shamsudin

- 3 hours ago
- 1 min read

Golongan mahasiswa di negeri Pahang yang sedang bercuti semester sepanjang bulan Ramadan tidak melepaskan peluang untuk menyumbang kepada masyarakat menerusi program kebajikan sempena Ramadan 1447H.
Satu program menyantuni warga memerlukan telah diadakan baru baru ini di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 berhadapan Masjid Negeri Sultan Ahmad.
Program berkenaan dijayakan bersama KEADILAN Cabang Kuantan menerusi Program Semarak Ramadan (PSR) 2026 yang menaja pek makanan berbuka puasa untuk diagihkan kepada golongan memerlukan yang hadir di lokasi tersebut setiap hari.
Mahasiswa tahun kedua Universiti Malaysia Terengganu, Danush Raj berkata, peluang bercuti sepanjang Ramadan dimanfaatkan dengan menyertai program kebajikan tersebut.

"Peluang bercuti sepanjang Ramadan ini saya manfaatkan untuk menyertai program santunan kasih seperti ini. Saya juga sangat teruja melihat majlis berbuka puasa yang dibuat secara terbuka di padang sambil menyampaikan sumbangan pek makanan kepada mereka yang memerlukan," katanya.
Menurutnya, beliau bersama lebih 20 sukarelawan mahasiswa turut berinteraksi dengan para pengunjung yang hadir untuk berbuka puasa bagi mengenali dengan lebih dekat keadaan dan cabaran yang dihadapi sepanjang bulan Ramadan.
Seorang lagi sukarelawan mahasiswa dari Indera Mahkota, Syed Nishral berkata, cuti semester yang bertepatan dengan Ramadan memberi peluang untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan yang bermanfaat.
"Peluang cuti yang bersekali dengan Ramadan kali ini saya manfaatkan dengan aktiviti-aktiviti bermanfaat seperti ini. Saya juga gembira dapat menyertai majlis berbuka puasa mega di padang awam ini yang sudah menjadi tarikan setiap kali Ramadan di bandar raya Kuantan," katanya.
Program tersebut turut disertai Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi, Ketua Wanita KEADILAN Pahang, Sridayu Samsuri serta Ketua Srikandi KEADILAN Pahang, Siti Samihah yang bersama-sama menyantuni masyarakat setempat.




Comments