Tadbir urus isu rumah ibadat bukan Islam perkukuh keharmonian rakyat
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 2 min read

Kerajaan terus memperkukuh usaha memelihara keharmonian masyarakat berbilang agama melalui pendekatan dialog, rundingan dan tadbir urus yang lebih tersusun berkaitan isu rumah ibadat bukan Islam.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj berkata, Mesyuarat Strategi Keharmonian dan Tadbir Urus Berkaitan Isu Rumah Ibadat Bukan Islam yang diadakan semalam bertujuan membincangkan secara konstruktif aspek pengurusan dan penyelarasan isu berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli, menyatakan bahawa mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada pendekatan terbaik dalam menangani isu semasa rumah ibadat selaras dengan kerangka pentadbiran sedia ada.
"Perbincangan memberi tumpuan kepada aspek pengurusan, penyelarasan serta pendekatan terbaik dalam menangani isu yang timbul," katanya dalam satu kenyataan.

Yuneswaran berkata, di peringkat Persekutuan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memainkan peranan penting dalam menyelaras hal ehwal rumah ibadat bukan Islam termasuk melalui Unit Penyelarasan Dana Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).
Tambahnya, semua pihak perlu mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh kementerian tersebut, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 yang memberikan kuasa kepada pihak berkuasa tempatan mengawal selia pembinaan dan pengurusan bangunan.
"Kerajaan akan terus menyediakan platform dialog bersama wakil komuniti agama bagi memastikan sebarang isu dapat ditangani melalui pendekatan perundingan, kefahaman bersama dan semangat perpaduan," ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengeksploitasi isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri wakil komuniti agama termasuk Hindu, Kristian, Buddha, Tao, Sikh dan Bahai, selain penyertaan beberapa agensi kerajaan seperti Kementerian Dalam Negeri Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Kerajaan menegaskan bahawa pendekatan dialog, rundingan dan mediasi akan terus menjadi kaedah utama dalam mengurus sebarang isu melibatkan komuniti pelbagai agama agar keharmonian serta perpaduan masyarakat di negara ini terus terpelihara.




Comments