Buku Gastronomi Melayu dilancar, perkukuh warisan, identiti kebangsaan
- Redzuan Shamsudin

- 4 hours ago
- 2 min read

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj hari ini merasmikan Majlis Pelancaran buku Ilmu Gastronomi Melayu: Puri Kencana terbitan Perpustakaan Negara Malaysia di Stadium Indera Mulia.
Majlis tersebut merupakan usaha penting dalam mengangkat khazanah ilmu, budaya dan warisan gastronomi Melayu atau pengetahuan mengenai masakan dan adat istiadat di belakangnya, sebagai sebahagian daripada identiti kebangsaan yang perlu terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.
Dalam ucapan perasmiannya, Yuneswaran menegaskan bahawa gastronomi bukan sekadar berkaitan makanan, sebaliknya merangkumi sejarah, falsafah dan nilai intelektual yang membentuk jati diri sesuatu bangsa.
"Makanan merupakan bahasa universal yang mampu merapatkan jurang antara masyarakat majmuk di Malaysia," katanya.
Beliau berkata, amalan berkongsi juadah melalui budaya rumah terbuka sempena pelbagai perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai membuktikan makanan berperanan sebagai medium perpaduan rakyat.
"Di meja makan, kita tidak lagi melihat perbezaan warna kulit, status sosial atau latar belakang agama. Juadah tradisional yang dikongsi bersama menjadi simbol kebersamaan dan keharmonian masyarakat Malaysia," katanya.
Menurut beliau, buku Puri Kencana selari dengan aspirasi Kementerian Perpaduan Negara Malaysia dalam memperkukuh perpaduan melalui pemeliharaan warisan budaya, selain membuka potensi ekonomi menerusi pelancongan gastronomi.
Tambah beliau, buku berkenaan berpotensi menjadi rujukan penting kepada pemain industri seperti cef, pengusaha restoran dan pencipta kandungan dalam mempromosikan masakan warisan negara ke peringkat antarabangsa.
Yuneswaran turut merakamkan penghargaan kepada Universiti Putra Malaysia, para penulis serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penerbitan buku dan penganjuran majlis tersebut.
"Jadikanlah warisan kulinari ini sebagai salah satu tiang seri peneguh identiti kebangsaan dan tali pengikat perpaduan yang utuh," katanya.
Majlis turut dimeriahkan dengan demonstrasi masakan tradisional oleh Chef Dr Liza Zainol yang mempersembahkan menu berasaskan manuskrip gastronomi Melayu daripada koleksi Perpustakaan Negara Malaysia.
Untuk rekod, Gastro merupakan kajian mendalam mengenai penyediaan makanan berupa teknik memasak, bahan, resipi, budaya dan tradisi; adat makan, makanan warisan; sejarah makanan, asal-usul hidangan dan pengaruhnya; nilai dan falsafah, makna di sebalik sesuatu hidangan; dan pengalaman makan seperti cara makanan dihidang dan dinikmati.




Comments