
Tahun Baharu Cina yang disambut esok diharap akan memperteguh lagi hubungan erat dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Dalam perutusan sempena tahun baharu, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan agar semua rakyat berbilang kaum di Malaysia meningkatkan kerukunan dan toleransi di antara sesama mereka.
"Teman-teman kita dari kaum Cina akan meraikan hari besar lagi bermakna yakni Tahun Baru Cina yang akan jatuh pada hari esok tanggal 1 Februari.
"Mengikut tradisi astrologi Cina, tahun ini adalah tahun harimau yang membawa maksud berani, amanah serta pemurah.
"Selalu saya sebut bahawa perayaan-perayaan besar ini adalah kesempatan bagi kita semua untuk belajar dan saling kenal antara satu dengan yang lain. Elemen kerukunan dan toleransi adalah pengikat yang nyata dalam membawa negara ini ke depan," katanya.
Pengerusi Pakatan Harapan itu juga mengingatkan agar rakyat tidak terperangkap dalam naratif perkauman sempit yang sengaja direka cipta pihak tertentu bagi menutup kelemahan penguasa dan menjamin parti parti perkauman meneruskan pemerintahan.
"Semangat kekitaan serta kebersamaan antara kaum mesti terus disemarakkan. Jangan lagi kita dibuai dan terperangkap dalam naratif yang memecahbelah kerana yang akan menanggung kesan adalah rakyat, bukan penguasa.
"Sifat amanah juga penting tatkala kita membicarakan soal rasuah dan kebejatan di negara hari ini. Mana mungkin negara ini melonjak sekiranya aspek menjunjung tatakelola yang baik masih dipandang enteng? Perangi rasuah bukan dengan slogan dan retorik, tapi mesti dengan sikap dan perbuatan," ujarnya.
Justeru, Anwar mengharapkan agar tahun harimau mengikut kalendar astrologi Cina ini akan membawa kejayaan kepada usaha perubahan total dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negara.
"Semoga tahun harimau membawa kebaikan serta anjakan baharu kepada negara. Dan semoga ekonomi kita kembali bangkit dan mengaum.
"Mewakili keluarga majmuk KEADILAN, saya ucapkan Selamat Tahun Baru Cina 2022 kepada seluruh masyarakat Cina di Malaysia," katanya lagi.