Teguh sokong kepimpinan Anwar, pertahan agenda reformasi - Wanita KEADILAN Selangor


Wanita KEADILAN Selangor menegaskan pendirian untuk terus kekal utuh dan istiqamah dalam perjuangan parti, khususnya dalam mendukung agenda reformasi demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negeri dan negara.
Setiausaha Wanita KEADILAN Selangor, Nur Yusmi Md Yusop (gambar) berkata, majoriti anggota sayap itu kekal komited dan tidak berganjak daripada prinsip perjuangan parti walaupun berdepan pelbagai cabaran semasa.
"Saya yakin majoriti anggota Wanita KEADILAN Selangor kekal utuh, istiqamah dan terus teguh bersama perjuangan Parti Keadilan Rakyat dalam mendukung agenda reformasi demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negeri dan negara," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan terus menerajui negara dengan hala tuju jelas, selain menyokong kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari selaku Pengerusi KEADILAN Selangor dalam memastikan kestabilan serta pembangunan negeri terus dipacu.
Menurutnya, kekuatan parti terletak pada kesatuan dalaman, kesetiaan kepada prinsip serta komitmen berterusan dalam memperjuangkan suara rakyat.
"Kami percaya kekuatan parti terletak pada kesatuan, kesetiaan kepada prinsip perjuangan serta komitmen berterusan dalam memperjuangkan suara rakyat," ujarnya.
Pada masa sama, beliau menegaskan Wanita KEADILAN Selangor akan terus berdiri teguh mempertahankan idealisme reformasi dan memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap parti.
Tambahnya, sayap itu juga berazam untuk memperkasakan peranan wanita dalam politik serta memastikan Selangor kekal sebagai kubu kuat parti.
"Kami berazam untuk terus komited dalam meneruskan perjuangan, memperkasakan peranan wanita serta mempertahankan Selangor sebagai Bumi Keadilan, dengan semangat kebersamaan dan iltizam demi masa depan yang lebih progresif dan inklusif.
"Kekal istiqamah, terus berjuang, pertahan Selangor Bumi Keadilan," katanya lagi.




Comments