Tegas banteras rasuah, Kerajaan Madani hadapi konspirasi koruptor
- Akmal Manaf

- Mar 3
- 2 min read

Tindakan tegas membanteras rasuah berskala besar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai mencetuskan reaksi balas apabila satu gerakan dikesan merangka strategi untuk mempertikai dan melemahkan kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendedahkan perkara itu berkata, siasatan awal mendapati rancangan tersebut telah dirangka sejak Ogos tahun lalu dengan garis masa sehingga PRU akan datang.
"Berpangkalan di luar negara, dengan dana yang besar, didukung oleh warga tempatan, dan strateginya itu adalah untuk merencana satu kegiatan mempertikai kerajaan yang ada dan usaha-usaha yang dijalankan.
"(Gerakan) ini akan tamat pada pilihan raya umum akan datang. Hal ini masih dalam siasatan, jadi sebab itu saya tidak cenderung untuk menyebut nama, atau tempat," katanya ketika Soal Jawab Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) yang meminta Perdana Menteri menyatakan status siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan, ancamannya terhadap demokrasi berparlimen serta sama ada siasatan melibatkan unsur penyelewengan atau penyalahgunaan wang negara.
Anwar bagaimanapun berkata, beliau mengumumkan perkara berkenaan berdasarkan maklumat yang telah sampai kepada pengetahuan beliau.
"Dalam laporan itu, syarikat dan badan-badan dan tokoh-tokoh berkenaan itu sudah ada enam kali perjumpaan pada 2025.. dalam dan luar negara.
"Untuk penjelasan, saya nak singgung di sini beberapa sedutan, dari rekod yang diperolehi tanpa menyebut nama, bahawa daripada Ogos itu, ditekankan strategi mereka untuk mendapatkan maklumat melalui ‘international round table’.
"Yang mendorong kegiatan ini adalah kerana siasatan rasuah oleh SPRM yang berskala besar. Itu yang menyebabkan mereka bertindak menggunakan kekuatan pengaruh luar dan dalam negara," ujarnya lagi.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh, Anwar yang juga Presiden KEADILAN memaklumkan bahawa polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.




Comments