Tebatan banjir Kelantan: Projek berjalan 7 tahun dibelenggu isu tanah?
- Suara Keadilan
- 24 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Projek tebatan banjir di Sungai Golok, Kelantan Fasa 1 terus menjadi persoalan apabila kelewatan pelaksanaannya berpanjangan tanpa penyelesaian tuntas.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) memaklumkan, pihaknya menerima laporan mengenai kemajuan projek tebatan banjir sungai itu yang didapati bergerak agak perlahan.
''Lepas dibuat pengambilan tanah kepada kita (kerajaan), ingat bolehlah mulakan projek.
''Tiba-tiba ada tanah dengan hak milik baru.
''Sebab itu saya tanya, hak milik ini memang dah lama atau tiba-tiba muncul?" soal beliau dengan nada penuh hairan dalam video pendek susulan tinjauan di tapak projek berkenaan.
Video berdurasi satu minit 30 saat itu dimuat naik di Facebook rasmi Akmal Nasir selepas beliau mengadakan lawatan kerja ke Kelantan.
Lebih menghairankan bagi Akmal, projek yang dimulakan sejak 2018 masih lagi berdepan isu berkaitan tanah meskipun kini sudah memasuki tahun 2025.
''2018 mula, 2025 masih cakap pasal tanah lagi?
''Macam mana ada projek kerajaan sudah tujuh tahun (berjalan) tapi isu tanah tak selesai?,'' soal Akmal mempertikaikan bagaimana isu asas seperti tanah boleh terus berlarutan.
Baru baru ini Akmal melawat Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1 bertujuan menilai kemajuan pelaksanaan projek, serta memastikan inisiatif tebatan banjir dan pengurusan lembangan sungai dilaksanakan mengikut jadual dan mencapai objektif yang ditetapkan.
Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 yang dijadualkan siap pada Ogos lalu masih berjalan dengan anggaran 70 peratus kemajuan.
Untuk rekod, sebelum ini, Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, pertambahan lot tanah yang melibatkan pengambilan balik tanah dan kesan perubahan jajaran jalan Keselamatan dan Pembangunan (Kesban), menyebabkan kontraktor memohon lanjutan masa.
Beliau berkata, kontraktor memohon lanjutan masa pada November 2023 dan diluluskan pada 30 Januari lalu dengan jumlah lanjutan masa selama 707 hari.
Comments