TBG bukti kesungguhan kerajaan bangunkan pengangkutan awam sistematik
- Suara Keadilan

- Sep 29
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Terminal Bersepadu Gombak (TBG) menjadi bukti nyata kesungguhan Kerajaan MADANI dalam membangunkan ekosistem pengangkutan awam yang lebih sistematik, efisien dan terancang demi kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, TBG merupakan manifestasi iltizam Kerajaan di bawah kerangka Malaysia MADANI, yang menekankan pembangunan prasarana canggih, terkini dan bersepadu.
Lebih penting ujarnya, terminal tersebut berperanan sebagai pusat penghubung sistem pengangkutan awam darat termasuk rel dan bas serta stesen ECRL apabila siap kelak, sekali gus memperkukuh rangkaian pengangkutan negara.
''Hari ini (terdapat) satu lagi pembaharuan dalam sektor pengangkutan awam untuk rakyat.
''Seperti apa yang diterangkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, kemudahan (yang disediakan) agak menyeluruh.
''Sekarang ini kita selaraskan bagaimana menjadikan stesen-stesen besar seperti ini dapat menawarkan kemudahan yang pelbagai kepada rakyat,'' katanya ketika Berucap pada Majlis Perasmian Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak (TBG) dan Mini Karnival MOT 2025, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengingatkan pengguna dan pihak pengurusan agar mengamalkan budaya kebersihan dan memastikan penyelenggaraan dilaksanakan secara berterusan terhadap fasiliti serba lengkap itu.
''Moga pembangunan ini membawa limpahan manfaat kepada warga Gombak, memperkasa kehidupan mereka, dan seterusnya menjadi salah satu tunjang penting dalam jaringan pengangkutan awam negara,'' ujar beliau.
Selain itu Anwar menekankan kepentingan integrasi pada stesen pengangkutan baharu itu yang dapat memberikan kemudahan yang pelbagai kepada rakyat.
Menurutnya, konsep bersepadu itu akan menggabungkan pelbagai kemudahan penting di sekitar rangkaian pengangkutan.
"Di setiap stesen disediakan tempat perniagaan atau hotel atau restoran atau jabatan-jabatan seperti Jabatan Pendaftaran, Imigresen dan sebagainya, maka dia akan jadi satu pusat kota yang baharu," katanya.
PM berkata, usaha itu juga akan merancakkan pembangunan ekonomi dan memenuhi keperluan kawasan sekitar.









Comments