
Isu warga tua perlu ditangani secara lebih komprehensif oleh kerajaan Malaysia.
Menurut calon Naib Ketua Wanita KEADILAN pusat, Loh Ker Chean, tidak cukup kerajaan memperuntukkan sebahagian dana dan menyediakan rumah kebajikan buat mereka, sebaliknya Malaysia yang menuju negara menua perlukan dasar yang menyeluruh melibatkan golongan berkenaan.
Menurut Ker Chean, beliau yang berada dalam pasukan Fadhlina Sidek sebagai calon Ketua Wanita KEADILAN bertekad akan lebih memperjuangkan hak hak warga tua di negara ini sekiranya berpeluang memimpin sayap parti tersebut.
"Rentetan pasca pandemik Covid 19 ketika ini, isu tekanan kewangan dan kesihatan mental dihadapi oleh isi rumah bertambah teruk, terutama bagi pasangan suami isteri yang perlu menjaga anak-anak dan pada masa sama, mempunyai ibu bapa di bawah tanggungan mereka.
"Hal ini kerana terdapat situasi di mana pasangan suami isteri yang bekerjaya perlu menanggung kos pusat penjagaan kanak kanak dan kos rawatan serta penjagaan bagi ibu bapa mereka yang sudah uzur. Terdapat situasi lain di mana ibu bapa yang uzur tidak tinggal bersama anak-anak dan hal ini akan menyebabkan pengabaian warga emas berlaku.
"Kebarangkalian bagi mana-mana rakyat Malaysia menjadi “generasi tersepit” adalah sangat tinggi dan proses penuaan tidak dapat dielakkan di mana memerlukan sistem sokongan dari orang lain untuk pengurusan sehari-hari. Negara Malaysia akan menjadi negara tua dalam tempoh 8 tahun sahaja dari sekarang apabila dijangka 15.3% peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk adalah berusia 60 tahun ke atas.
"Persoalannya, apakah dasar dan usaha kerajaan kini dalam persiapan menuju negara tua? Apakah penyelesaian ditawarkan oleh kerajaan terhadap keperluan penjagaan warga emas yang semakin meningkat? Sebagai rakyat, apakah persiapan kita bagi mendepani cabaran tersebut?" tanyanya
Ker Chean yang mendukung aspirasi “Politik Khidmat Kebaktian” yang diperkenalkan oleh Saudari Fadhlina berkata kerajaan seharusnya mempunyai dasar yang menyeluruh melibatkan golongan wanita yang biasanya diberi tanggungjawab menguruskan golongan tua.
Katanya, gagasan yang disokong beliau menawarkan solusi bagi membantu kaum wanita yang terkesan dan sekaligus menjamin kesejahteraan warga emas.

"Saya menggenggam erat tekad "Menua dengan Bermaruah" sebagai inti sari perjalanan pemilihan saya. Saya yakin bahawa perwujudan sistem sokongan sosial, kesihatan dan perlindungan warga emas yang holistik wajib disegerakan bagi memperuntukkan khidmat penjagaan yang profesional dengan kos berpatutan kepada warga emas dan meningkatkan kesedaran awam tentang kesihatan mental golongan tua kerana menua dengan bermaruah adalah hak mutlak setiap rakyat.
"Bagi tujuan itu, saya memerlukan undi dan sokongan dari anggota KEADILAN dan diberikan mandat sebagai Naib Ketua Wanita Pusat untuk saya memperjuangkan isu kritikal ini," katanya lagi.
Beliau yang juga calon nombor 2 menyeru anggota KEADILAN untuk bersama sama merealisasikan gagasan tersebut bagi menjamin kesejahteraan keluarga dan warga emas.
Ker Chean mengumumkan projek pertamanya yang bakal diluncurkan iaitu ‘Khidmat Cakna’ (KC) yang akan bermula dengan penyertaan sukarelawan di laman web: www.khidmatcakna.com.