Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari menegaskan bahawa wakil rakyat kerajaan terutama dari KEADILAN yakin terhadap sokongan dimiliki Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Taufiq sebelum itu menyokong kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang menegaskan sokongan terhadap PM wajar diputuskan melalui undi percaya di Dewan Rakyat bukan berdasarkan Akuan Berkanun (SD).
Malah tambahnya, Anwar sendiri sudah membuktikan beliau memperoleh sokongan dalam parlimen sebulan selepas mengangkat sumpah tahun lepas.
"Kami Ahli-ahli Parlimen KEADILAN berpuas hati dengan kepimpinan PMX dan jemaah menterinya, dan akan berdiri teguh mempertahankan Kerajaan Perpaduan-Malaysia Madani.
"Jadi sekiranya benar pembangkang menyatakan PMX sudah hilang majoriti, sila guna saluran dan pembuktian yang sama iaitu di parlimen," katanya dipetik.
Sebagai rekod, Suara Keadilan sebelum ini melaporkanHassan Karim menggesa pembangkang supaya mengemukakan usul tidak percaya terhadap Anwar sebelum mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Rakyat mula bersidang pada 26 Februari depan.
Ia susulan naratif dimainkan pembangkang terutama oleh seorang penulis blog yang kini dalam buangan, Raja Petra Kamaruddin mendakwa bahawa Perikatan Nasional (PN) telah berjaya memperoleh sekitar 120 SD untuk menjatuhkan pentadbiran Anwar Ibrahim.
Anwar ketika ditemuai pemberita di Iskandar Puteri semalam mencabar pembangkang mengemukakan usul itu di Dewan Rakyat.
Menyifatkan naratif itu sekadar propaganda untuk menipu penyokong supaya tidak hilang semangat, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menegaskan pentadbirannya sudah memberi peluang kepada usul tidak percaya dibuat namun langkah itu tidak pernah dilakukan pembangkang sejak setahun lalu.
Σχόλια