
Negeri Kelantan yang tidak dianggap destinasi terbaik oleh pelabur luar kerana lokasi yang sering dilanda banjir saban tahun manakala penduduknya menderita kehilangan harta benda akibat bah akan berubah pada era pentadbiran Kerajaan Madani.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, projek tebatan banjir beberapa fasa telah berjaya dirancang di sepanjang Sungai Golok dan dilakukan dengan penjimatan dana akibat tatakelola perolehan projek yang baik sejak beliau mengambilalih Kementerian Kewangan.
"Kejayaan kita mempastikan tatakelola projek tebatan banjir. Kita dapat jimatkan dana daripada keputusan yang lampau, maka kita putuskan 2 projek tambahan, satu di Johor dan satu lagi di Sungai Golok yang meneruskan dari projek Sungai Golok Fasa 1 RM656 juta, kemudian projek PLSB Sungai Golok Fasa 2 RM900 juta, Fasa 3 RM500 juta dan PLSB Fasa 2 RM1 bilion yang akan diputuskan selewat lewatnya pada Jun tahun ini.
"Saya harap dengan ini akan berikan penjelasan (kepada rakyat), kita buat keputusan bukan kita pilih (kasih) Kelantan tetapi kerana kebetulan masalah banjir di Kelantan lebih serius," katanya dalam ucapan di Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI di Kota Bharu, malam tadi.
Bagaimanapun, kata Anwar, Kerajaan Perpaduan tetap tidak melupakan sektor pendidikan di negeri itu yang relatifnya agak daif. Kerajaan pusat, katanya, memberi peruntukan besar dalam Belanjawan 2023 sebanyak RM150 juta untuk penyelenggaraan sekolah pondok, tahfiz dan sekolah agama rakyat. Juga penyelenggaraan kepada KAFA yang bukan di bawah Kementerian Pendidikan.
Begitu juga, katanya, bantuan kebajikan kepada masyarakat Kelantan yang melibatkan 41,000 orang dan kos RM204 juta. Termasuk sumbangan tunai Rahmah Kelantan kepada 600,000 penerima dengan kos RM200 juta.
"Saya sebut hal ini untuk memberikan penjelasan bahawa fahaman kita dalam Belanjawan Madani bererti mempastikan kebocoran, ketirisan dihentikan dan perlaksanaan dijalankan mengikut jadual.
"Petang tadi bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Besar, juga Ketua Setiausaha Negeri kita lancarkan stesen ECRL pertama di Tunjung, Kota Bharu. Ini menunjukkan Tunjung dan daerahnya disediakan kemudahan tambahan. Inilah projek pertama yang kita lancarkan dalam ECRL ini.
"Projek ini dijalankan, ada beberapa projek lain iaitu atas cadangan Menteri Dalam Negeri, iaitu Ibu Pejabat Kontinjen Polis akan dibina di Tunjung," katanya lagi.
Comments