top of page

Task Force 2026: Pastikan kebersihan, keselamatan pengunjung Batu Caves

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Inisiatif Thaipusam Task Force 2026 yang diasaskan oleh Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr Gunaraj George (gambar) memasuki tahun ke-12 penganjurannya tahun ini, dengan komitmen berterusan memastikan sambutan Thaipusam diraikan secara bertanggungjawab, berdisiplin, bersih serta selamat.


Menurut kenyataan di Facebook Dr Gunaraj, pasukan khas tersebut diwujudkan bagi memastikan penganut Hindu dapat menjalankan ibadat dengan lancar dan sempurna tanpa gangguan.


"Thaipusam Task Force ditubuhkan bagi memastikan sambutan diraikan dengan penuh rasa tanggungjawab, disiplin dan mengutamakan kebersihan, di samping menjamin keselamatan penganut agar ibadat dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna," katanya.


Sambutan tahun ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

DS Amirudin dalam majlis memberikan sumbangan kepada masyarakat India
DS Amirudin dalam majlis memberikan sumbangan kepada masyarakat India

Kehadiran beliau serta wakil rakyat kawasan disifatkan sebagai tanda penghormatan dan keprihatinan terhadap masyarakat India.


"Kehadiran YAB Datuk Menteri Besar jelas mencerminkan penghormatan dan keprihatinan beliau terhadap masyarakat India yang meraikan perayaan penuh makna ini," kata kenyataan itu.


Pelbagai program kesedaran dan penguatkuasaan pada tahun ini dilaksanakan dengan kerjasama agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO). Antaranya inisiatif Clean Thaipusam yang menekankan aspek kebersihan kawasan sepanjang perayaan.


Selain itu, Malaysia Hindu Dharma Mamandram menyediakan upacara keagamaan secara percuma termasuk khidmat sami dan barangan sembahyang bagi mengelakkan pembaziran serta penghasilan sisa berlebihan.


Thaipusam Task Force turut melaksanakan penguatkuasaan dengan memastikan tiada halangan oleh peniaga yang boleh mengganggu laluan pejalan kaki. Sukarelawan juga membantu mengarahkan penggunaan jejambat bagi mengurangkan kesesakan.


"Kami memastikan tiada penjualan arak, topeng muka, vuvuzela dan barangan larangan lain di kawasan sambutan demi menjaga ketertiban dan kesucian perayaan," kata kenyataan itu lagi.


Program seni dan muzik berunsurkan keagamaan turut diadakan setiap tahun, disertai ucapan berbentuk kesedaran bagi mendidik penganut mengenai kepentingan menjaga disiplin, kebersihan dan keharmonian sepanjang perayaan.


Kenyataan itu turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tourism Malaysia yang menyumbangkan 10,000 botol air mineral melalui Spritzer, serta semua sukarelawan yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran sambutan Thaipusam tahun ini.


Sebelum ini pada kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Batu Caves, Dr Gunaraj berkata, badan bertindak yang ditubuhkan sejak 12 tahun lalu itu telah bertindak mengumpulkan sukarelawan pada setiap tahun bagi membantu melicinkan sambutan Thaipusam.


"Tahun ini kita ada banyak gabungan untuk bawa kesedaran bagi pastikan kawasan Batu Caves bersih.


"Sukarelawan mula khidmat pada pukul 6 di pentas ketiga pada Sabtu. Ada 120 sukarelawan membantu. Ada dari belia, Angkatan Muda KEADILAN, belia kuil dan NGO," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page