Cadangan tarikh tutup pendaftaran vaksin Covid 19 sebagaimana diutarakan oleh Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan kelmarin disifatkan sebagai mengarut oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEAIDILAN, Dr Zaliha Mustafa.
Menurut Dr Zaliha, daripada mencadangkan hal yang menyusahkan rakyat itu lebih baik Wan saiful meningkatkan kempen pendaftaran vaksin dalam kalangan rakyat, khususnya masyarakat luar bandar.
"Cadangan supaya kerajaan melaksanakan tarikh tutup kepada pendaftaran vaksin dengan alasan agar rakyat tidak sambil lewa atas usaha mendapatkan vaksin adalah benar-benar tidak wajar.
"Bagi saya, ini suatu cadangan yang tidak berasas dan tidak masuk akal. Sedangkan mereka yang telah lama berdaftar dalam sistem MySejahtera pun masih lagi belum menerima vaksin, ini kan pula untuk menguatkuasakan tarikh tutup pendaftaran.
"Jika kerajaan mahu terus menggunakan sistem pendaftaran vaksin untuk memastikan pelaksanaan Program Imunisasi Covid 19 Kebangsaan (PICK) atau National Imminisation Program ini mudah untuk dipantau, maka seharusnya kita menggalakkan lebih ramai lagi rakyat berdaftar, perluas dan pemudahkan urusan pendaftaran.
"Ramai sukarelawan juga Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri telah melaksanakan usaha ini di kawasan seliaan masing-masing. Agensi-agensi kerajaan yang wujud di kawasan-kawasan pendalaman yang tiada capaian internet juga boleh turut dikerah bagi membantu penduduk yang mungkin ada masalah dalam mendaftarkan diri mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Pengerusi Biro Dasar, Strategi dan Latihan, Majlis Pimpinan Wanita Pusat itu lagi, seharusnya kerajaan mempermudahkan proses mendapatkan vaksin sebagaimana di banyak negara di dunia.
Katanya, proses pendaftaran yang rumit dan agihan vaksin yang lambat di negara ini menyebabkan Malaysia sukar mendapatkan imuniti kelompok dalam jangka waktu segera.
"Apa yang penting ialah mempercepatkan kemasukan vaksin, memudahkan akses kepada vaksin agar seramai mungkin rakyat mendapat suntikan.
"Banyak negara termasuk Singapura, Indonesia bahkan Amerika Syarikat sendiri memberi suntikan vaksin kepada rakyat mereka tanpa birokrasi pendaftaran dan telah pun mencapai kadar vaksinasi yang tinggi.
"Negara jiran Indonesia melaporkan capaian vaksin yang melebihi 300,000 suntikan sehari. Mereka memperkenalkan kaunter bergerak, kaunter terbuka (open counter) dan kaunter pandu lalu (walk in counter) seperti apa yang dilaksanakan di Arizona, Texas dan Detroit, Amerika Syarikat serta membenarkan sesiapa sahaja menerima vaksin, mempermudahkan capaian vaksin kepada kumpulan-kumpulan sasar seperti warga emas dan pelajar demi memastikan rangkaian jangkitan Covid 19 ini diberhentikan secepat mungkin," katanya lagi.
Malah, menurut Dr Zaleha, di negara luar sukarelawan khususnya sukarelawan perubatan, orang awam dan tentera turut memainkan peranan dan digembeling tenaga bagi mempercepatkan rakyat memperolehi imuniti kelompok.
Comments