top of page

Tarik Tauliah Mengajar : Bukan Akibat Desakan ADN PH




Oleh: Mohd Fauzi Fadzil


Isu penarikan tauliah terhadap penceramah yang terlibat dengan aktiviti politik di Negeri Selangor sekali lagi menjadi isu hangat walaupun ia telah dijawab secara terperinci oleh YB Mohd Zawawi Ahmad Mughni selaku Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Negeri Selangor.


Isu ini mula dibangkitkan oleh Yang Dipertua Pas Kawasan Bangi melalui artikel bertajuk “Kembalikan Cahaya Gemerlapan Islam Di Selangor”, tiga persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Dipertua Pas Kawasan Bangi di dalam artikel tersebut telah dijawab melalui kenyataan akhbar Mohd Zawawi.


Namun pada 22 Januari 2023, Yang Dipertua Pas Bangi sekali lagi membangkitkan isu penarikan tauliah mengajar di masjid dan surau melibatkan segelintir individu di Selangor melalui sebuah portal berita atas talian.


Bukan akibat desakan ADN PH


Mohd Fauzi Fadzil

Yang Dipertua Pas Bangi bersetuju dengan kenyataan YB Mohd Zawawi bahawa antara sebab yang membolehkan individu-individu ditarik tauliah mengajar di masjid dan surau adalah kerana mereka terlibat dalam politik kepartian secara aktif.


Namun dakwaan Yang Dipertua Pas Bangi bahawa tindakan menarik tauliah tersebut dilakukan akibat desakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pakatan Harapan (PH) di dalam sidang Dewan Negeri Selangor adalah tidak benar. Beliau seolah olah tidak memahami kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Exco Mohd Zawawi bahawa D.Y.M.M Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, Sultan Selangor yang telah bertitah berkenaan “Larangan Penggunaan Masjid Dan Surau Bagi Menjalankan Program Serta Ceramah Yang Berunsur Kepentingan Politik Kepartian”.


Titah ini terpakai kepada semua pihak sama ada mereka yang terlibat dengan parti politik pemerintah atau pembangkang di Dewan Negeri Selangor. Penarikan tauliah mengajar di masjid dan surau oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dilakukan tanpa pilih kasih apabila ia turut melibatkan ADN PH seperti YB Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (ADN Meru).


Penceramah diberi hak membela


Berkenaan dakwaan bahawa penarikan tauliah mengajar tersebut melibatkan penceramah yang berfahaman Takfiri, Ghuluw (Melampau) dan terpengaruh dengan fikrah Khawarij yang keras dan radikal, penceramah yang mempunyai ciri-ciri tersebut tidak ditarik tauliah tanpa diberikan hak pembelaan yang sewajarnya.


Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang melibatkan Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 telah menyatakan pada Peraturan 18 bahawa penarikan tauliah tidak boleh dilakukan sehinggalah pemegang tauliah diberikan peluang untuk didengar.


Jawatankuasa pendengaran berkenaan penarikan tauliah mengajar di masjid dan surau juga adalah bebas daripada pengaruh politik kerana ia melibatkan penjawat awam dan golongan profesional yang berkhidmat di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).


Memang benar Exco Mohd Zawawi turut menganggotai MAIS, namun terdapat 20 anggota MAIS lain yang turut mempunyai suara jika terdapat unsur penyalahgunaan kuasa yang cuba dilakukan dengan niat memenangkan politik kepartian.


Lantikan anggota MAIS dilakukan oleh D.Y.M.M Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, mana mungkin keputusan yang dibuat oleh MAIS berkenaan penarikan tauliah dibayangi oleh niat politik memandangkan penaungnya adalah Sultan Selangor sendiri.


Pemimpin Pas perlu bermuhasabah


Yang Dipertua Pas Bangi perlu bermuhasabah dan berhenti menyalahkan pihak lain atas keputusan penarikan tauliah mengajar di masjid dan surau melibatkan beberapa individu yang sama aliran politik dengan beliau.


Semakin berterusan dakwaan ini dibangkitkan maka hal ini seakan-akan ‘menjentik’ D.Y.M.M Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj. Hormatilah keputusan yang telah dititahkan oleh baginda Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam di Negeri Selangor.


Jika benar dakwaan Yang Dipertua Pas Bangi bahawa Jemaah Pas tidak membela fahaman ghuluw (melampau), maka beliau harus bersederhana dalam membela ahli-ahli parti politik yang beliau anggotai.


Jangan kerana isu ini maka beliau hilang pertimbangan sebagai muslim yang rasional. Kritiklah kerajaan Negeri Selangor dengan bukti yang sahih, sudah pasti kritikan yang membina akan diterima oleh kerajaan Negeri Selangor secara berlapang dada.


______________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Cabang Pandan

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page