Tarik subsidi pukal tidak tingkat kos sara hidup
- Suara Keadilan
- Oct 13, 2023
- 2 min read

Kritikan sesetengah pihak terutama pembangkang sekiranya Kerajaan melakukan rasionalisasi subsidi maka kos kehidupan akan meningkat disangkal oleh Felo Kanan Penyelidik SWRC Universiti Malaya, Dr Zulkifly Omar.
Kata beliau, kos kehidupan dan polisi subsidi pukal yang diamalkan sekarang, di mana golongan kaya juga menikmati harga minyak murah misalnya, tidak ada kaitan besar dengan kenaikan harga barang keperluan harian.
"Kalau dilihat rasionalisasi subsidi, kalau ditarik subsidi secara langsung (adakah) akan beri kesan kepada kos sara hidup....
"(Sebenarnya) kos sara hidup ini adalah isu berlainan dan tidak boleh diselesaikan dengan subsidi. Ada banyak faktor lain yang menyebabkan kos sara hidup (meningkat)," dalam forum atas talian terbitan Sumberkini bertajuk: "Reformasi Subsidi, Siapa Untung?" malam tadi.
Menurut beliau, polisi subsidi adalah untuk menyeimbangkan pengagihan kekayaan. Namun apabila terlalu banyak subsidi diberi tanpa disalurkan kepada golongan sasar, maka hal itu akan menyebabkan ketidakcekapan ekonomi.
"Perlu ada penambahbaikan struktur ekonomi yang sekian lama kita mengalami pertumbuhan produktiviti perlahan (masalah pengeluaran dan upah). Itu punca utama kos sara hidup (gagal ditangani).
"(Manakala) tujuan asal subsidi ialah untuk meringakan beban golongan rentan (miskin). Kalau kita campur adukkan isu masalah kos sara hidup ini (dengan rasionalisasi subsidi maka) akan jadi rumit," katanya.
Beliau berkata, banyak negara yang melaksanakn polisi subsidi bersasar telah berjaya menurunkan jurang pendapatan antara gologan terkaya dan termiskin (gini coefficient) secara signifikan.
"Kalau subsidi tidak bersasar yang mendapat faedahnya adalah golongan yang berpendapatan tinggi. Contoh kalau tengok kerajaan belanja subsidi petrol, dan yang menggunakan petrol banyak ialah golongan berpendapatan tinggi (kereta mewah). Pendapatan rendah menggunakan sedikit sahaja (motorsikal).
"Faedah lebih kepada golongan berpendapatan tinggi. Isu itu perlu kita tekankan. Subsidi bersasar ini (akan) terus kepada orang layak menerima sahaja," katanya lagi.
Pembentangan Belanjawan 2024 petang ini dijangka akan menyaksikan kerajaan mengumumkan polisi rasionalisasi subsidi yang akan menarik balik subsidi dinikmati golongan kaya.
Comments