Tarik diri: Perak perlu jadi perintis model bola sepak berpandukan realiti
- Suara Keadilan
- May 7
- 2 min read

Keputusan penarikan diri Perak FC daripada saingan Liga Super Malaysia musim ini bukan sahaja mengecewakan peminat bola sepak Perak, malah menjadi satu isyarat jelas bahawa struktur kewangan dan pentadbiran dalam bola sepak tanah air perlu segera diperbetulkan.
Hal itu dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak, Munzirie Kabir.
Bagaimanapun katanya, disebalik cabaran tersebut Pemuda AMANAH Perak melihat peluang untuk pasukan bola sepak negeri itu menjadi perintis kepada satu model pengurusan yang lebih rasional, mampan dan berpadanan dengan realiti ekonomi semasa.
"Krisis yang dihadapi Perak FC boleh dijadikan titik tolak kepada perubahan besar dalam kaedah tadbir urus kelab termasuk penstrukturan semula gaji pemain, keutamaan kepada pembangunan akar umbi, dan pemerkasaan sokongan komuniti serta swasta
"Kerajaan Negeri pula boleh memainkan peranan strategik, tidak semestinya dengan bantuan kewangan langsung, tetapi melalui galakan kepada syarikat swasta untuk menjadi penaja dengan tawaran insentif tertentu, pelepasan cukai, kerjasama CSR atau sebagainya," kata beliau dalam satu kenyataan.
Menurut Munzirie, beliau percaya Perak berpotensi menjadi model terbaik untuk dicontohi pasukan negeri lain yang turut mengalami tekanan kewangan.
Bola sepak Perak, katanya tidak harus mati, sebaliknya mesti bangkit dengan pendekatan baru yang lebih berani, tersusun dan berpijak di bumi nyata.
"Kami juga menyedari bahawa cadangan seperti ini mungkin bukan cadangan popular dalam kalangan pemain bola sepak profesional, terutamanya apabila melibatkan struktur gaji yang lebih berpatutan.
"Namun kami percaya, akan ada dalam kalangan pemain yang bersedia menyahut cabaran ini, dan menerima model pengurusan baharu demi kelangsungan dan kemajuan bola sepak negeri.
"Dalam masa sama, kami faham dan sedar akan realiti sebenar industri bola sepak di Malaysia. Ia tidak mampu menjana pulangan kewangan ketara kepada pelabur atau penaja kerana tahap komersialisasinya masih jauh berbeza berbanding kelab-kelab di Eropah.
"Ini terbukti apabila syarikat seperti XOX yang pernah mengambil alih Perak FC tidak mendapat pulangan yang diharapkan, meskipun telah melabur sejumlah besar sumber dan tenaga," katanya.
Selain itu, Pemuda AMANAH Perak turut menyarankan agar pihak berkuasa liga seperti FAM dan MFL merombak semula kerangka Liga Malaysia hari ini yang dilihat semakin tidak seimbang dari segi kewangan.
Zaman bola sepak negara di kemuncak dahulu, kata beliau, bukan dibina atas gaji jutaan ringgit tetapi atas semangat setia, kelab akar umbi dan sokongan komuniti.
"Perubahan besar sering lahir daripada keberanian menghadapi realiti. Dan kami percaya, Perak mampu menjadi negeri yang memulakan langkah tersebut," kata Munzirie lagi.
Juara Piala Malaysia lapan kali, Perak FC secara rasminya mengumumkan menarik diri dari saingan Liga Super musim depan kerana isu kewangan.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan daripada pengurusan tertinggi Perak FC kepada media pada minggu lalu.
Klik disini gabung bersama agen kabar4d penyedia game online terpopuler!