Tarik anak muda, guna teknologi AI dalam dakwah
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Institusi agama kini memberi tumpuan kepada transformasi dakwah digital dengan memperkasakan asatizah melalui kemahiran baharu termasuk penghasilan kandungan kreatif, animasi dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memperluas capaian mesej Islam kepada masyarakat khususnya golongan anak muda.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan menyifatkan pendekatan itu penting memandangkan generasi hari ini membesar dalam persekitaran digital dan media sosial.
Justeru beliau berkata, kaedah dakwah juga perlu disesuaikan dengan perkembangan teknologi semasa agar mesej Islam dapat disampaikan secara lebih berkesan dan relevan.
"Apa yang perlu kita lakukan pada hari ini ialah mengajak asatizah muda supaya kita sama-sama turun ke dalam dunia virtual itu untuk menarik anak-anak (dan) masyarakat supaya mereka juga ditawarkan dengan juadah-juadah, ilmu-ilmu yang benar dan ilmu yang membentuk fikrah Islam yang sebenar.
"Jadi inilah yang sedang dilakukan (oleh) Hal Ehwal Agama. Saya sudah bagi tahu mufti (beliau) kena (ada) media sosial, kena ada animasi. Sekarang ini kita sedang buat projek animasi oleh Jabatan Mufti. Tolong doakan (kerana) kita nak lancarkan dalam bulan Ramadan ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Majlis Perasmian Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan (HAMKA) yang disempurnakan oleh beliau di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.
Dr Zulkifli menambah, dengan kepesatan teknologi AI, institusi agama diseru melakukan anjakan termasuk memanfaatkan animasi dan kandungan digital sebagai medium dakwah.
Malah katanya golongan mufti, alim ulama dan asatizah juga perlu terjun ke dalam dunia media sosial.
Beliau berkata, pendekatan yang sedang diusahakan itu bertujuan membanjiri, mendominasi dan mengarus perdanakan pemikiran yang baik untuk mengalahkan kebatilan.



Comments