Tarif: Kekalkan SME sebagai nadi ekonomi negara
- Suara Keadilan
- 35 minutes ago
- 2 min read

Kerajaan digesa mengekalkan prestasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) sebagai nadi penggerak ekonomi negara.
Bagi Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, PKS amat terkesan dengan tarif dikenakan Amerika Syarikat kerana saiz perniagaan yang tidak besar dan kerajaan perlu menyediakan bantuan bersesuaian bagi mengelakkan usahawan sektor itu gulung tikar.
"Keadaan rantaian perbekalan global yang kian terputus-putus bakal memusnahkan ribuan SME kita yang merupakan pembekal atau vendor kepada MNC yang mana berisiko berpindah dari Malaysia.
"SME ini memerlukan pasaran, jaminan kredit serta sokongan peralihan perniagaan mereka dalam saat-saat kritikal ini. Kalau
kita tidak buat apa-apa, ramai antara mereka akan lingkup dan tutup kedai, puluhan ribu pekerjaan akan musnah, dan sukar untuk kita membina semula kekuatan jentera perusahaan tersebut pada masa akan datang," katanya dalam sidang khas Dewan Rakyat pagi tadi.
Sehubungan itu, Chean Chung mencadangkan langkah tertentu diambil bagi menyelamatkan SME dengan mewujudkan Dana Penampan Tarif PKS (SME Tariff Relief Fund) untuk pembiayaan berfaedah rendah dan subsidi kepada syarikat yang terjejas bagi
menampung kos bahan mentah, proses transformasi atau pelan pelarasan pasaran.
Katanya, perlu juga diwujudkan Geran Penyesuaian Pasaran Eksport yang memberi geran serta sokongan teknikal melalui MATRADE bagi membantu syarikat SME menembusi pasaran alternatif seperti ASEAN, Timur Tengah dan EU.
Selain itu kerajaan juga, katanya, perlu mempertimbangkan penangguhan pembayaran cukai pendapatan dan SST untuk tempoh enam bulan demi membantu aliran tunai syarikat kekal stabil.
"Reformasi struktur juga perlu dijalankan supaya langkah-langkah tersebut boleh tercapai.
"Pertama, kerajaan perlu meletakkan SME Corp daripada KUSKOP kepada MITI, supaya MITI boleh mengesan, mengikuti perkembangan serta membantu SME secara langsung dan lebih berkesan.
"Menambahkan belanjawan MITI supaya dapat memperkasakan MATRADE untuk membantu SME mencari dan menembus pasaran baru, serta berupaya menjalankan kerja-kerja penguatkuasaan seperti sisatan anti lambakan dan salahguna sijil tempasal (certificate of origin)," katanya lagi.