Tarif AS tidak akan ubah pendirian Malaysia terhadap Palestin, Iran
- Suara Keadilan
- Jul 22
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pengenaan tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia yang dikhuatiri tidak akan dikurangkan daripada jumlah asal 25% kerana dasar luar Malaysia, tidak akan mencairkan pembelaan terhadap negara umat Islam tertindas seperti Iran dan Palestin.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau berharap isu tarif yang dikenakan AS terhadap Malaysia dapat diselesaikan secara baik melalui saluran diplomatik dan perundingan berkaitan perdagangan tanpa menyentuh hal lain.
Katanya, Malaysia masih mempunyai masa sehingga bulan depan untuk berunding dan rundingan masih diteruskan.
''Saya tidak mahu buat jangkaan awal.. dalam rundingan terakhir masih belum ada tanda-tanda (keputusan akhir).
''Tetapi dalam rundingan itu ada beberapa pertimbangan.
''Kita harap dan doa akan dapat diselesaikan dengan baik, tapi apa pun kesan atau bantahan, ia tidak akan mengubah pendirian kita dalam isu Gaza atau hubungan baik Malaysia dengan Iran,'' katanya ketika sesi Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) yang mahu tahu sama ada penetapan tarif timbal balas dikenakan AS terhadap Malaysia mempunyai kaitan dengan ketegasan PM dan kelantangan negara membela Palestin.
Mulai 1 Ogos nanti, AS mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas semua produk Malaysia yang dieksport ke negara berkenaan.
Presiden Donald Trump memaklumkan tarif baharu itu membabitkan barangan import dari beberapa negara termasuk Malaysia, Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan, dengan kadar yang berbeza mengikut negara.
Malaysia dikenakan tarif tetap sebanyak 25% kadar sama seperti Jepun dan Korea Selatan.
Comments