Tarif: AS tangguh 3 bulan, ASEAN perlu kukuhkan hubungan dagang
- Suara Keadilan
- Apr 10
- 2 min read

ASEAN perlu mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh dengan Amerika Syarikat (AS) dan rakan-rakan dagang yang lain termasuk China bagi melindungi ekonomi domestik ketika banyak negara berdepan dengan tarif eksport yang diumumkan Washington.
Bagaimanapun, pentadbiran Donald Trump menangguhkan penguatkuasaan tarif selama 90 hari ke atas rantau Asia termasuk Malaysia, bagaimanapun China dikenakan tarif hingga 125 peratus ke atas import daripada republik itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, strategi ASEAN adalah memastikan hubungannya dengan rakan dagang seperti China, Jepun dan Korea Selatan kekal kuat.
"Mengapa? Kerana kita perlu lindungi ekonomi domestik. Dan sekali lagi, keutamaan kita ialah memberi perhatian segera untuk memastikan asas kita kekal kukuh.
"Asas kita akan kekal kukuh sekiranya kita terus memastikan keamanan di rantau ini. Dan keamanan bermaksud kita mesra dengan kesemua jiran kita.
"Dan seperti saya pernah sebut dan saya ulangi sekali lagi, China merupakan pihak yang sangat penting.
"Kita tidak boleh mengabaikannya," katanya dalam ucapan penutup Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 di Kuala Lumpur hari ini.
Anwar yang menerajui Kepengerusian Malaysia ASEAN 2025 mengakui terdapat negara anggota ASEAN mempunyai masalah dengan China namun perlu terus ditangani melalui cara yang terbaik bagi memastikan keamanan dan keselamatan.
"Pada masa yang sama kita harus menggapai manfaat dalam ekonomi, pelaburan, dan bidang yang berkaitan," katanya lagi.
Dalam pada itu Anwar yang juga Menteri Kewangan melahirkan rasa gembira kerana ASEAN telah mencapai konsensus untuk meningkatkan kerjasama serantau termasuk membabitkan isu tarif sekali gus membuktikan pertubuhan serantau itu bukan seperti blok negara lain yang sukar mencapai kata sepakat.
"Masalah dengan AS bukan sesuatu yang mudah tetapi melalui perdagangan Intra-ASEAN, inisiatif Intra-ASEAN, kastam dan pelaburan. Ini kita mampu, dan saya rasa kita perlu lakukannya pada tahap yang lebih pantas," katanya.
Hari ini ASEAN dalam kenyataannya mencapai konsensus untuk tidak bertindak balas terhadap tarif timbal balas AS sebaliknya sepakat untuk meneruskan dialog yang kontruktif.
Dalam pada itu, ketika menjawab soalan media, Anwar berkata negara perdagangan perlu menggunakan platform Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk menyelesaikan sebarang isu dan masalah, termasuk tarif.
Beliau berkata pertubuhan serantau itu percaya bahawa usaha mencapai perdagangan bebas harus dilakukan melalui mekanisme seperti badan perdagangan global itu dan bukannya melibatkan hanya satu pihak sahaja.
"Sekiranya ada pelarasan yang perlu dibuat, kami (ASEAN) sentiasa boleh melakukannya.
"Namun begitu, kami (ASEAN) berasa kurang senang dan tidak bersetuju dengan keputusan unilateral yang dibuat oleh AS untuk mengenakan tarif," ujarnya.
Anwar berkata penyelesaian lebih berkesan perlu dilakukan secara bersama-sama di platform tunggal ASEAN untuk meyakinkan AS yang merupakan kuasa besar ekonomi.
"Apa yang perlu kita lakukan adalah untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan serta kerjasama dalam sektor digital dan tenaga.
"Kita perlu menarik perhatian semua negara termasuk AS agar menghormati sistem berasaskan peraturan," kata beliau.
Comments