Tarif AS: Semua kementerian perlu beri penerangan lengkap
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Isu tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport Malaysia sememangnya suatu perkembangan yang membimbangkan kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada sektor perdagangan, pekerjaan, dan pertumbuhan ekonomi negara.
Bagi aktivis Penggerak Rakan Nasionalis Moderat, Dr Faiz Na’aman, untuk menangani isu tersebut kementerian-kementerian di Malaysia disarankan mengambil langkah strategik antaranya melalui penerangan impak dan jawapan kepada soalan lazim (FAQ) bagi kefahaman orang ramai dan kesiapsiagaan pemain industri.
"Sebagai contoh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang berkaitan langsung dengan eksport Malaysia. Selain dari peranan dalam konteks keterjaminan makanan, antara perkara yang wajar diberikan perhatian juga adalah mengenai kesan eksport pertanian atau makanan dari Malaysia ke AS.
"Ini kerana orang ramai ingin mengetahui apa kesannya kepada mereka. Begitu juga kepada pihak industri.
"Ini adalah satu contoh, dan sebenarnya perkara berkaitan isu tarif ini juga melibatkan kementerian-kementerian yang lain," kata Faiz Na’aman.
Berdasarkan data Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MATRADE) dan Jabatan Statistik Malaysia (DOSM), nilai eksport Malaysia ke AS pada 2024 melonjak kepada rekod tertinggi baharu, mencatatkan pertumbuhan dua digit 23.2 peratus kepada RM198.65 bilion hasil eksport yang kukuh bagi barangan elektronik dan elektrik (E & E) seperti semikonduktor, peranti elektronik, komponen elektrik, dan peralatan telekomunikasi.
Sehubungan itu, produk-produk yang mungkin terjejas akibat tarif timbal balik termasuk barangan E & E, barangan kelapa sawit seperti minyak sawit mentah (CPO) dan produk-produk dari hasil kelapa sawit, barangan tekstil seperti pakaian dan kain, barangan perkayuan seperti perabot kayu dan produk kayu lain, jentera, kelengkapan serta barangan pertanian seperti getah asli dan hasil laut.
Tambah Faiz, kesan daripada peningkatan tarif tersebut kepada produk Malaysia yang dieksport ke AS ialah peningkatan kos produk di pasaran AS.
Melalui peningkatan tarif itu, katanya, harga produk Malaysia yang dieksport akan meningkat secara signifikan dan dibimbangi menjadikan produk Malaysia kurang kompetitif berbanding produk dari negara lain yang tidak dikenakan tarif yang sama.
Justeru itu, kata beliau program penerangan dan jawapan kepada soalan lazim (FAQ) perlu dilakukan secara berkala bagi memudahkan pemahaman dan menjawab persoalan orang ramai, selain pemadanan industri dengan kerjasama serantau melalui kementerian-kementerian.
Menjadikan Rusia sebagai contoh ketika berdepan sekatan ekonomi Kesatuan Eropah dan AS, Faiz berkata situasi yang pernah dihadapi negara itu boleh dijadikan kaedah rujukan bagaimana blok ASEAN dapat digembleng melalui peningkatan dagangan, perkongsian maklumat dan pertukaran teknologi.
"Kementerian-kementerian di Malaysia juga boleh berperanan untuk menjalinkan kerjasama dengan rakan sejawat dari rantau Asia Tenggara sempena kepengerusian ASEAN," ujarnya.
Tambah beliau, ‘mood’ kementerian-kementerian sekarang ini perlu diaktifkan dengan memanfaatkan peranan Malaysia seperti sebelum ini di kalangan Pergerakan Negara-negara Berkecuali atau NAM dan jaringan bersama negara kerjasama BRICS.
"Kalau kita lihat penerangan dilakukan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz adalah sangat bagus.
"Bukan sahaja melalui platform rasmi kementerian, malah beliau sendiri secara peribadi memberikan penerangan, misalnya melalui platform Tiktok dan Instagram. Hal seperti ini wajar dijadikan rujukan yang baik," kata Faiz lagi.