top of page

Tarif AS: Perlu kerjasama pelbagai pihak kemuka idea konstruktif

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 27
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Isu tarif 24 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat ke atas eksport Malaysia bukan sekadar cabaran kepada kerajaan semata-mata tetapi merupakan isu nasional yang menuntut kerjasama semua pihak bagi mengatasinya, kata Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat.


Menurut beliau, semua pihak sama ada pemain indusrti, badan penyelidik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk parti pembangkang perlu bekerjasama memberikan idea konstruktif (membina) bagi menghadapi cabaran, kerana isu tarif ini meletakkan semua pihak sebagai pemegang taruh dalam merangka penyelesaian strategik dan jangka panjang.


"Isunya sekarang ini kita mendapat tekanan daripada luar. Isu yang berlaku bukan berpunca dari hal domestik (dalaman). Ia adalah isu ekonomi global yang bukannya berpunca dari kalangan parti-parti politik di Malaysia

Suhaizan Kaiat
Suhaizan Kaiat

"Jadi sekarang ini masanya kita bersatu padu dalam menghadapi cabaran ekonomi ini. Lupakan dulu polemik dalaman. Ayuh tumpu kepada penyelesaian isu tarif ini," kata Suhaizan kepada Suara Keadilan.


Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada 2 April lalu mengumumkan tarif timbal balik 24 peratus ke atas import dari Malaysia.


Negara anggota ASEAN, wilayah Indo-China pula paling teruk terjejas akibat tarif tersebut, dengan Kemboja dikenakan tarif asas dan timbal balik berjumlah 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus) dan Myanmar (44 peratus).


Manakala Thailand dikenakan tarif 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Brunei 24 peratus, Filipina 17 peratus dan Singapura pada tarif asas 10 peratus.


Sementara itu dalam konteks pembikinan dasar dan program, Suhaizan berkata, parti-parti politik yang berada di parlimen digalakkan terlibat dalam menyokong inisiatif dan dasar perdagangan nasional yang dirangka kerajaan melalui penglibatan bipartisan.


"Ada ruang untuk menyatakan pandangan. Bukannya kita tak ada pilihan - tapi pilihan itu adalah dengan bekerjasama untuk menyelesaikan cabaran yang mendatang," katanya lagi.


Ditanya mengenai cadangan langkah meningkatkan tarif import ke Malaysia terhadap produk dari Amerika Syarikat sebagai tindakan balas, Suhaizan berkata, langkah tersebut mahupun pemulauan adalah bersifat reaksioneris, tidak strategik dan memberi kesan kepada ekonomi Malaysia.


Sebaliknya kata beliau, pihak industri Malaysia boleh meneroka pasaran baharu yang memiliki permintaan unik dan langkah itu akan memberi pulangan positif dalam jangka masa panjang.


Kata Suhaizan, Malaysia sebagai negara perdagangan bebas memiliki cara rundingan sederhana, berhikmah dan tidak mengamalkan tindakan kontroversi.


"Pemulauan atau boikot boleh dianggap sebagai provokasi. Kita tak perlu lakukan ini. Sebaiknya apa yang boleh kita lakukan adalah dengan meneroka pasaran baru. Contohnya seperti negara Timur Tengah, Rusia dan negara-negara Afrika. Ia agak mengambil masa, misalnya sehingga dua atau tiga tahun.


"Tapi buat masa ini kita perlu memberi sokongan kepada inisiatif kerajaan, khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang merancang untuk melakukan rundingan engan Amerka Syarikat," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page