Tarif AS: Kerajaan perlu umum pakej ransangan ekonomi untuk PKS
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan digesa mengumumkan pakej rangsangan ekonomi khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada sidang khas Parlimen 5 Mei ini.
Gesaan itu dilakukan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung merangkap Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Ekonomi dan Kewangan Parlimen yang menyifatkan pakej berkenaan diperlukan susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) menaikkan tarif ke atas pelbagai produk import yang mengakibatkan ketidaktentuan ekonomi secara global.
"Tambahan pula, prestasi suku pertama ekonomi AS yang menunjukkan pertumbuhan negatif telah meningkatkan kebimbangan pelabur dan melemahkan sentimen pasaran global.
"Pengumuman Presiden Trump untuk menangguhkan pelaksanaan cukai selama 90 hari tidak memberi kelegaan sebenar kepada pasaran. Ketidaktentuan dasar ini hanya menangguhkan tekanan, bukan menyelesaikannya," katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut Chean Chung, Malaysia sebagai negara yang sangat bergantung kepada perdagangan antarabangsa turut merasai kesannya.
Pada 2024 katanya, nilai eksport Malaysia ke AS mencecah RM196.6 bilion, menjadikannya pasaran eksport kedua terbesar negara dan dalam masa sama, nilai import dari AS pula berjumlah RM126.3 bilion.
"Banyak sektor yang berorientasikan eksport seperti perabot, barangan getah dan peralatan optik kini berdepan kos yang semakin meningkat akibat tarif 10% yang telah dikenakan.
"Banyak juga syarikat telah menangguh pelaburan dan pengambilan pekerja baharu akibat ketidaktentuan ini. Jika kerajaan tidak bertindak segera, negara boleh berdepan gelombang pengangguran baharu," ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau yang juga Pengarah Komunikasi Nasional KEADILAN mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan beberapa langkah dalam pakej rangsangan yang bakal diumumkan.
"Ia seperti Dana Penampan Tarif PKS (SME Tariff Relief Fund) untuk pembiayaan berfaedah rendah dan subsidi kepada syarikat yang terjejas bagi menampung kos bahan mentah, proses transformasi atau pelan pelarasan pasaran.
"Perlu juga ada Geran Penyesuaian Pasaran Eksport yang memberi geran serta sokongan teknikal melalui Lembaga Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi membantu syarikat menembusi pasaran alternatif seperti ASEAN, Timur Tengah dan EU.
"Kerajaan juga perlu mempertimbangkan penangguhan pembayaran cukai pendapatan dan SST untuk tempoh enam bulan demi membantu aliran tunai syarikat kekal stabil," katanya.
Dalam pada itu, Chean Chung turut menekankan kepentingan penguatkuasaan yang adil dan tegas terhadap syarikat asing yang beroperasi di negara ini.
"Semua entiti perniagaan tanpa mengira saiz atau negara asal wajib mematuhi undang-undang dan membayar cukai yang sewajarnya.
"Kita tidak boleh membiarkan ada pihak yang mengambil kesempatan daripada kekosongan dasar atau kelemahan penguatkuasaan untuk mengelak cukai.
"Ia bukan sahaja menjejaskan pendapatan negara, malah mencemari persaingan sihat dalam pasaran," tegas beliau lagi.