Pengecualian visa: Kukuh hubugan China-Malaysia, jangan abaikan PKS tempatan
- Suara Keadilan
- May 4
- 2 min read

Pengecualian visa selama 90 hari kepada warganegara China berkunjung ke Malaysia boleh mengeratkan hubungan Malaysia - China, namun kerajaan juga perlu memikirkan nasib Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) tempatan yang mungkin terpaksa bersaing dengan warga asing.
Bagi Pengarah Komuniksi KEADILAN, Lee Chean Chung, pengecualian visa selain mampu menarik lebih banyak pelancong ianya juga boleh mendatangkan masalah kepada PKS tempatan.
Katanya, akan terdapat peniaga kecil dari China yang akan memilih rantau Asia Tenggara sebagai destinasi untuk mencari peluang baharu.
Tempoh 90 hari itu, katanya, mencukupi untuk menjalankan perniagaan berskala kecil, pelaburan jangka pendek, malah menembusi pasaran tempatan dengan harga yang lebih rendah.
"Sebagai contoh, kini sudah ada petunjuk bahawa sesetengah pasukan fotografi dari luar negara menawarkan pakej fotografi perkahwinan serendah RM299 – jauh di bawah kadar pasaran tempatan – yang mampu mengganggu mekanisme harga industri dan menambah tekanan kepada pengusaha tempatan.
"Sekiranya perkhidmatan seperti ini tidak berada di bawah sistem kawal selia atau tidak dikenakan sebarang cukai, ia akan menyebabkan persaingan yang tidak adil dan berpotensi menjejaskan pasaran pekerjaan dalam negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, sebagai ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Kewangan dan Ekonomi, Chean Chung mencadangkan agar beberapa perkara dilakukan kerajaan.
Antaranya, kata beliau ialah memperkenalkan mekanisme visa perniagaan jangka pendek yang ringkas dan patuh undang undang kepada warga asing yang mahu menjalankan perniagaan di Malaysia, serta memastikan mereka tertakluk kepada sistem percukaian dan kawal selia industri.
"Kerajaan juga boleh perkukuh penguatkuasaan dan kerjasama antara agensi bagi memastikan peniaga asing mematuhi undang-undang perniagaan dan percukaian tempatan.
"Sediakan lebih banyak sokongan kepada PKS tempatan, termasuk geran transformasi digital, pembukaan pasaran, dan latihan kemahiran untuk meningkatkan daya saing termasuk geran transformasi digital, bantuan pengembangan pasaran, dan latihan kemahiran bagi meningkatkan daya saing.
"Kerajaan juga disaran untuk memperkukuh kerjasama teknologi antara Malaysia dan China demi manfaat bersama dalam pembangunan inovasi dan pemindahan teknologi," katanya.
Selain itu, ujar beliau, kerajaan perlu tingkatkan syarat untuk warga asing menubuhkan perniagaan di Malaysia, antaranya dengan menetapkan ambang pelaburan minimum dan keperluan untuk bekerjasama dengan rakan tempatan atau mendaftar syarikat di Malaysia.
Langkah tersebut bukan sahaja dapat membendung amalan ‘dumping’ harga rendah, tetapi juga membantu pemindahan teknologi dan pembangunan ekonomi tempatan.
Perlu juga diwujudkan, katanya, mekanisme pemantauan tingkah laku perniagaan di media sosial serta kerjasama merentas platform. Dicadangkan agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menubuhkan pasukan khas untuk memantau aktiviti perniagaan melalui alamat IP tempatan dan platform seperti WeChat, Xiaohongshu, Shopee Live, dan TikTok Shop.
Mana-mana pihak yang menawarkan perkhidmatan atau menjual produk dalam negara perlulah mendaftar syarikat dengan SSM atau mempunyai nombor cukai; kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan sekatan fungsi perniagaan di platform tersebut.
"Kami percaya hubungan baik antara Malaysia dan China perlu dibina atas asas timbal balik, kepatuhan undang-undang dan manfaat bersama. Kerajaan bukan sahaja perlu mengalu-alukan pelancong dan pelabur asing, tetapi juga bertanggungjawab melindungi ekosistem perniagaan tempatan yang sihat dan adil, khususnya untuk PKS.
"Lebih-lebih lagi dalam konteks tekanan terhadap sektor eksport negara akibat tarif Amerika Syarikat, kita tidak boleh membiarkan pasaran domestik turut terjejas," katanya lagi.
Tegas Ahli Parlimen Petaling Jaya itu, hanya dengan dasar yang menyeluruh dan mekanisme pengawalseliaan yang berkesan, maka pemain dalam pasaran boleh bersaing secara adil malah ekonomi negara dapat berkembang secara mampan, dan hak rakyat akan terjamin sepenuhnya.
Comments