Pelajar SPM Cemerlang Bersama Kerajaan Madani Selangor
- Suara Keadilan
- May 4
- 3 min read
Updated: May 6

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Kerajaan Madani Selangor terus mendapat kepercayaan rakyat apabila berjaya membantu meningkatkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk tahun 2024. Keputusan tersebut yang diumumkan pada 24 April 2025 telah merekodkan Gred Purata Negeri Selangor (GPN) sebanyak 4.59, GPN Selangor untuk tahun 2024 menunjukkan peningkatan yang positif sebanyak 0.08 mata berbanding tahun 2023.
Keputusan SPM 2024 lebih bermakna untuk Selangor kerana ia merupakan keputusan terbaik sepanjang tempoh 11 tahun terdahulu. Pada tahun 2024, sebanyak 94% pelajar SPM di Selangor layak menerima sijil SPM di samping catatan jumlah terbaik calon wajib lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah untuk tempoh 11 tahun.
Rekod turut mencatatkan berlaku peningkatan 0.5% pelajar SPM di Selangor yang memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran, jumlah pelajar cemerlang tersebut adalah seramai 2 368 calon (3.65%).
Kerajaan bantu pencapaian
Pencapai cemerlang yang dicatatkan oleh pelajar SPM di Negeri Selangor sudah pasti merupakan hasil usaha pelajar itu sendiri, tidak ketinggalan dokongan padu yang diberikan oleh ibu bapa dan pihak pentadbiran sekolah yang sentiasa bersama pelajar sepanjang proses perkembangan pembelajaran.
Namun disebalik usaha dan dokongan tersebut, tidak dapat dinafikan juga sistem sokongan yang dibentuk oleh Kerajaan Madani Selangor turut memainkan peranan untuk membantu pelajar mencapai kejayaan semasa SPM 2024.

Dasar Kerajaan Madani Selangor di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) cuba untuk memberi tumpuan kepada pelajar daripada golongan keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi mendapatkan akses pendidikan tambahan. Perkara itu ditekankan oleh Datuk Seri Amirudin bin Shari selaku Menteri Besar Selangor.
Menurut beliau penumpuan Kerajaan Madani Selangor bukan sahaja terhadap pelajar cemerlang SPM, malah usaha turut dilakukan untuk mengenal pasti pelajar SPM yang tidak menduduki peperiksaan. Kerajaan Madani Selangor akan cuba untuk mewujudkan peluang kedua kepada pelajar tersebut untuk menduduki peperiksaan SPM ulangan pada Julai tahun ini.
Program Tuisyen Rakyat
Antara program bantuan utama kepada pelajar SPM dibawah RS-1 adalah Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS). Program tersebut mula diperkenalkan pada tahun 2009, ia merupakan bantuan pendidikan berbentuk kelas tambahan kepada pelajar yang memperoleh keputusan yang sederhana atau lemah khususnya mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan RM 2 000.00 dan ke bawah.
Pada tahun 2023, Kerajaan Madani Selangor dengan kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor telah menyasarkan 65,000 pelajar SPM daripada 277 buah sekolah menengah untuk dibantu melalui PTRS. Hasilnya dapat dilihat melalui keputusan yang cemerlang dalam kalangan pelajar SPM pada tahun 2024.
Selain itu Kerajaan Madani Selangor turut menyediakan beberapa program sokongan lain di bawah RS-1 seperti Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS). Program tersebut merupakan pemberian RM 300 setiap bulan bagi pembelian keperluan harian seperti barangan asas serta barangan persekolahan dan pendidikan melalui penggunaan e-wallet SELANGKAH. BINGKAS hanya layak kepada keluarga yang tinggal di Negeri Selangor dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM 3,000.
Pendidikan senjata ampuh
Terdapat pelbagai lagi program dan inisiatif yang dilakukan oleh Kerajaan Madani Selangor di bawah RS-1 bertujuan membantu pelajar untuk cemerlang dalam SPM 2024. Fokus Kerajaan Madani Selangor semenjak awal lagi adalah untuk membuka peluang pendidikan berkualiti kepada pelajar SPM yang datang dari keluarga B40.
Pendidikan pada hari ini merupakan senjata ampuh yang penting bagi Negeri Selangor melonjak kedudukan sebagai negeri berpendapatan tinggi dan terus mengekalkan kedudukan sebagai penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia. Penghasilan sumber manusia dengan tahap pendidikan dan kemahiran tinggi akan terus menjadi pelaburan utama Kerajaan Madani Selangor dalam menguruskan perbelanjaan negeri.
Justeru pelajar SPM sama ada yang cemerlang atau gagal pada tahun 2024 perlu terus meneroka bantuan dan inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Madani Selangor untuk meneruskan Pendidikan pada tahap tertiari. Tiada gunanya Kerajaan Madani Selangor membangunkan program seperti IKTISASS, HPIPT, BAYU dan SEPINTAS sekiranya pelajar SPM 2024 tidak meneruskan pengajian kerana terpengaruh dengan dakyah segelintir pempengaruh media sosial bahawa boleh berjaya dan kaya tanpa SPM.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor
留言