Tarif air T'ganu: Rakyat marah, kenapa Kerajaan Pas tidak kaji terperinci?
- Suara Keadilan

- Sep 29
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kenaikan tarif air sebanyak lapan sen bagi setiap meter padu bagi penggunaan domestik di Terengganu menimbulkan persoalan mengenai aspek pengurusan dan tadbir urus Kerajaan Negeri.
Ketua Cabang KEADILAN Kemaman, Mohd Nazri Yusoff mempersoalkan kenapakah Kerajaan Negeri tidak melakukan kajian terperinci sebelum membuat keputusan menaikkan tarif air, sehingga terpaksa mengarahkan Syarikat Air Terengganu (SATU) meneliti semula pelarasan tarif air yang berkuat kuasa Ogos lalu selepas mendapat aduan dan kecaman rakyat.
''Memang benar pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (di peringkat Persekutuan) mempunyai bidang kuasa untuk menasihat dan mengesyorkan kenaikan tarif air kepada pengendali perkhidmatan air di negeri-negeri, tetapi kata putus dan keputusan muktamad terletak kepada pengendali perkhidmatan air di negeri-negeri.

''Kerajaan Pas Terengganu begitu gah sebelum ini menjaja kejayaan membayar hutang yang ditinggalkan pentadbiran sebelumnya, menjaja pelbagai propaganda menunjukkan kebolehan mentadbir.
''Dengan pelbagai dakwaan sebegitu, Kerajaan Pas Terengganu sepatutnya mempunyai pelan penyelesaian yang jitu berhubung tarif air dengan tidak meletakkan kos kenaikkan kepada rakyat sepenuhnya,'' kata beliau dalam satu kenyataan.
Menurut Mohd Nazri lagi, keputusan Kerajaan Terengganu menaikkan tarif air sebanyak kali dalam tempoh tidak sampai dua tahun, telah menaikkan kemarahan rakyat.
''Dua kali kenaikkan yang berlaku iaitu pada 2024 dan 2025 sememangnya memberi tekanan kepada rakyat negeri Terengganu yang majoritinya berada dalam kelompok B40 dan miskin.
''Di mana dakwaan kejayaan Menteri Besar memperoleh pelbagai peluang pelaburan yang akan meningkatkan hasil negeri dan boleh digunakan untuk menyerap kos kenaikkan tarif air, agar ia tidak membebankan rakyat.
''Rakyat Terengganu tidak akan terus tertipu dengan retorik Pas negeri. Arus kebangkitan rakyat Terengganu akan terus bergerak membentuk gelombang bagi menumpaskan Pas pada Pilihan Raya Umum akan datang,'' ujarnya lagi.
Untuk rekod, pelarasan tarif air di negeri berkenaan telah berkuat kuasa sejak 1 Ogos lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Abdul Karim Endut berkata dengan kadar baharu itu, caj penggunaan minimum untuk pengguna domestik berubah kepada RM6.60 sebulan.
Bagaimanapun, katanya subsidi 20 meter padu air sebulan bagi isi rumah B40 di negeri ini dikekalkan.









Comments