top of page

MAHAR terajui Misi Bantuan Johor – Palestin 3.0

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 35 minutes ago
  • 2 min read
Barangan yang bakal dihantar ke Palestin ditempatkan di gudang
Barangan yang bakal dihantar ke Palestin ditempatkan di gudang

Oleh: Helmi Foad


Malaysian Humanitarian Aid & Relief (MAHAR) memainkan peranan utama dalam memperkukuh keberkesanan penyampaian bantuan kemanusiaan antarabangsa apabila diberi kepercayaan menerajui Misi Bantuan Kasih Johor–Palestin 3.0, selaras dengan amanah Kerajaan Negeri Johor.


Misi yang berlangsung dari 1 hingga 12 Januari 2026 itu dilaksanakan di Kem Pelarian Marka, Amman, Jordan, sebelum diteruskan ke Kaherah, Mesir dengan pendekatan berteraskan ilmu pertahanan awam khususnya dalam pengurusan bencana, logistik dan keselamatan operasi.


MAHAR memaklumkan, pelaksanaan misi ini adalah hasil kerjasama strategik berterusan antara Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan MAHAR, dengan keseluruhan operasi mematuhi kerangka kerja serta piawaian International Civil Defence Organisation (ICDO) dan badan kemanusiaan antarabangsa.


Menurut MAHAR, antara kekuatan utama misi ini ialah penglibatan barisan pengurusan tertinggi serta kakitangan MAHAR yang juga merupakan Pegawai Lantikan Bersekutu dan anggota APM, sekali gus memastikan pematuhan ketat terhadap Standard Operating Procedures (SOP) antarabangsa dalam aspek penyelarasan bantuan kecemasan dan pengurusan logistik merentas sempadan.


"Misi ini membuktikan bahawa ilmu pertahanan awam bukan sahaja relevan dalam konteks pengurusan bencana domestik, malah diiktiraf dan diaplikasikan secara efektif dalam operasi kemanusiaan global, termasuk di zon konflik," menurut kenyataan itu.


Misi berkenaan diterajui oleh Mejar Bersekutu (PA) Jismi Azahari Johari, selaku Ketua Misi merangkap Presiden MAHAR dan Pengerusi Ops Ihsan dengan sokongan Kapten Bersekutu (PA) YM Tengku Ainfarihin Tengku Abdullah yang mengendalikan komunikasi strategik dan pengurusan media, sejajar prinsip ketelusan serta akauntabiliti awam.


Sementara itu, Koperal (PA) Mohamad Ridhwan Mohd Rahim, yang berpengalaman lebih 14 tahun bersama APM dan misi kemanusiaan di Timur Tengah, bertanggungjawab memantau aspek teknikal serta pelaksanaan agihan bantuan di lapangan bagi memastikan keselamatan, kecekapan dan tadbir urus baik dipatuhi.


MAHAR turut menegaskan komitmen penuh untuk memastikan setiap sumbangan rakyat Johor diurus secara berintegriti melalui pemantauan rapi proses perolehan, penyimpanan dan penghantaran barangan keperluan asas.


"Pendekatan profesional itu menjamin bantuan kritikal dapat disalurkan kepada rakyat Palestin secara selamat, berkesan dan telus, selari dengan mandat yang telah diamanahkan oleh Kerajaan Negeri Johor," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page