BM, sejarah mata pelajaran wajib, tiada lagi jurang aliran sekolah
- Suara Keadilan

- 19 minutes ago
- 2 min read

Kerajaan menegaskan bahawa Bahasa Melayu dan Sejarah kekal sebagai asas penyatuan sistem pendidikan negara apabila semua aliran sekolah tanpa pengecualian diwajibkan mengambil kedua-dua subjek tersebut dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketetapan itu terpakai kepada semua sistem persekolahan termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat, maahad tahfiz serta sekolah aliran Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
“Tanpa kecuali, diwajibkan mengambil ujian Bahasa Melayu SPM dan juga sejarah Malaysia. Yang kedua, kita lihat sekolah agama rakyat ini dan maahad tahfiz dan sebagainya, sistem persekolahan yang kian meningkat. Mereka juga termasuk dalam kategori ini.
“Ini terpakai juga tentang kontroversi kecil soal UEC walaupun keadaan sudah berubah. Majoriti besar mengambil SPM dan juga majoriti besar telah mengambil SPM Bahasa (Melayu),” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 di Putrajaya.
Menurut beliau, keperluan tersebut menjadi laluan bersama yang adil dan jelas bagi semua pelajar untuk melangkah ke pendidikan tinggi, sekali gus menamatkan polemik berpanjangan berkaitan pengiktirafan aliran pendidikan tertentu.
“Maka dengan kaedah ini, jalur mereka untuk pergi ke pendidikan tinggi sama ada sekolah antarabangsa atau sekolah agama rakyat dan UEC, itu tidak lagi harus menjadi kontroversi. Kita terima baik asalkan syarat ini diterima,” jelasnya.
Anwar turut menegaskan bahawa Bahasa Melayu dan Sejarah bukan sekadar subjek peperiksaan, sebaliknya instrumen pembinaan identiti nasional dan kefahaman bersama tentang negara.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kerajaan akan memperkenalkan mata pelajaran umum di peringkat pendidikan tinggi yang telah disusun semula dan diajar sepenuhnya dalam Bahasa Melayu kepada pelajar warganegara Malaysia di universiti awam dan swasta.
“Di peringkat pendidikan tinggi, kita tidak wajibkan Bahasa Melayu dan sejarah tetapi mulai tahun ini, kita akan perkenalkan mata pelajaran umum yang telah dirombak semula dan diajar dalam Bahasa Melayu di seluruh universiti awam dan swasta bagi pelajar Malaysia iaitu Perlembagaan dan sejarah Malaysia serta dimasukkan dalam kurikulum,” katanya.
Menurut Anwar, langkah itu penting bagi memastikan semua pelajar, tanpa mengira bidang pengajian, memiliki asas kefahaman yang kukuh tentang sejarah negara serta struktur Perlembagaan Persekutuan.
Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 yang dilancarkan hari ini merupakan pelan strategik nasional merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi, melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.









Comments