Isu Iran, Venezuela: Malaysia kekal pendirian pertahan kedaulatan negara
- Suara Keadilan

- 2 minutes ago
- 2 min read

Malaysia mengambil pendirian yang jelas dan konsisten dalam isu antarabangsa melibatkan Iran dan Venezuela, dengan meletakkan prinsip kedaulatan negara serta pematuhan undang-undang antarabangsa sebagai keutamaan utama dalam dasar luar negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendirian tersebut dizahirkan walaupun berpotensi menimbulkan tekanan geopolitik terhadap Malaysia.
"Dalam isu Venezuela, Malaysia adalah antara negara yang mengambil pendirian paling tegas," katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse di Dewan Rakyat.
Menurut Anwar, Malaysia secara jelas tidak bersetuju dengan tindakan yang melanggar prinsip undang-undang antarabangsa dan telah mendesak Amerika Syarikat supaya membawa pulang Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya ke negara asal.
"Itu kenyataan kita yang agak jelas dan tegas kerana ia melibatkan prinsip kedaulatan dan undang-undang antarabangsa," katanya.
Beliau mengakui pendirian sedemikian berisiko menimbulkan tekanan terhadap negara namun menegaskan hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat tetap dikekalkan demi kepentingan nasional.
"Bukan soal kebimbangan peribadi tetapi kebimbangan kepada negara. Sebab itu jalur hubungan dengan Amerika Syarikat kita kekalkan, walaupun dipertikai oleh sesetengah pihak," katanya.
Sementara itu, Anwar berkata Malaysia terus mengekalkan hubungan perdagangan dan diplomatik dengan Iran termasuk melalui lawatan serta hubungan peringkat menteri selaras dengan prinsip menghormati kedaulatan negara tersebut.
"Hubungan kita dengan Iran masih kekal. Kita pertahankan hak dan kedaulatan Iran, itu prinsip yang kita pegang," katanya.
Beliau menegaskan, kebijaksanaan diplomasi amat penting dalam mengemudi hubungan antarabangsa agar Malaysia tidak dilihat lemah, namun dalam masa sama tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan kepentingan negara.
"Kita mesti seimbang, tegas pada prinsip, tetapi bijaksana dalam hubungan antarabangsa," katanya.
Mengulas isu Greenland, Perdana Menteri berkata Malaysia menyokong pendirian Eropah dan Denmark yang mengutamakan rundingan, namun menolak sebarang tindakan penaklukan terhadap negara berdaulat.
"Untuk menakluki mana-mana negara, itu kita tidak mungkin bersetuju sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat," katanya.









Comments