top of page

Kembalikan UPSR, PT3: ABIM cadang kekalkan reformasi pentaksiran

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 7 minutes ago
  • 2 min read

Oleh: Helmi Foad


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mahu kerajaan supaya berhati hati dalam reformasi pentaksiran pendidikan untuk mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).


Presidennya Ahmad Fahmi Mohd Samsudin (gambar) berkata, sebarang perubahan dasar pendidikan mesti berpaksikan kebijaksanaan jangka panjang serta kestabilan sistem dan bukan dipacu oleh keresahan sesaat atau tekanan politik.


"Perubahan dasar pendidikan tidak boleh digerakkan oleh kebimbangan jangka pendek tetapi perlu berteraskan kepentingan sebenar anak-anak dan masa depan negara," katanya dalam kenyataan.


Ahmad Fahmi berkata ABIM berpandangan cadangan mengembalikan UPSR dan PT3 tidak menyelesaikan isu asas pendidikan, khususnya ketika negara sedang mematangkan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 dan Kurikulum Persekolahan 2027.


Menurut ABIM, reformasi pendidikan memerlukan masa, konsistensi dan keyakinan semua pihak.


"Reformasi yang sedang berjalan perlu diberi ruang untuk matang, bukan diubah haluan secara tergesa-gesa," kata beliau.


ABIM turut menolak pendekatan peperiksaan berkepentingan tinggi yang berisiko menghidupkan semula budaya persekolahan berorientasikan peperiksaan, sekali gus menjejaskan pembangunan insan murid secara menyeluruh.


Sebaliknya, ABIM menyatakan sokongan terhadap pentaksiran kebangsaan bersepadu yang berteraskan pembangunan insan, kesejahteraan murid dan aspirasi Pendidikan MADANI.


"Pentaksiran seharusnya menyokong pembelajaran, bukan menjadi alat penentuan masa depan murid secara sempit," katanya.


Mengimbas pengalaman lalu, ABIM mengingatkan pelaksanaan dan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebagai contoh dasar yang dilaksanakan tanpa kesiapsiagaan sistemik.


Menurut ABIM, kesilapan dasar sedemikian telah membebankan guru, mengelirukan murid dan menjejaskan satu generasi pelajar.


"Mengundur ke belakang dalam dasar pentaksiran hari ini berisiko mengulangi kesilapan yang sama," katanya.


ABIM menegaskan bahawa pemansuhan UPSR dan PT3 sebelum ini merupakan keputusan dasar yang besar dan berani, justeru wajar diperkemas dan diperbaiki, bukannya dibatalkan secara tergesa-gesa.


Pertubuhan itu juga menolak tanggapan bahawa ketidakpuasan hati masyarakat berpunca daripada ketiadaan peperiksaan.


Menurut ABIM, masalah sebenar terletak pada kelemahan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) termasuk latihan guru yang tidak mencukupi, ketidaksamaan kebolehpercayaan antara sekolah serta kelemahan komunikasi awam.


"Menghidupkan semula peperiksaan lama hanya menutup kelemahan sebenar dengan jalan pintas," katanya.


Sehubungan itu, ABIM menggesa pemerkasaan PBD melalui latihan guru yang lebih praktikal dan berterusan, pengurangan beban dokumentasi serta usaha meningkatkan kefahaman ibu bapa terhadap sistem pentaksiran semasa.


ABIM turut mencadangkan pentaksiran nasional berkepentingan rendah sebagai penanda aras sistemik, selain pelaksanaan Pentaksiran Diagnostik Kebangsaan bagi menilai literasi asas tanpa membebankan murid dan keluarga.


Dalam masa sama, ABIM menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai rakan strategik masyarakat sivil dalam memperincikan pelaksanaan sistem pentaksiran kebangsaan yang lebih matang dan berintegriti.


"Kembali kepada peperiksaan berkepentingan tinggi bukan langkah ke hadapan, sebaliknya satu langkah ke belakang yang berisiko mengulangi kesilapan dasar lampau dan menggagalkan matlamat jangka panjang pembangunan insan negara," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page