RPN 2026–2035 teras pembentukan belia berkualiti, berdaya saing - Dr Taufiq
- Suara Keadilan

- 5 minutes ago
- 1 min read

Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini disifatkan sebagai langkah strategik dan signifikan dalam memperkukuh keseluruhan ekosistem pendidikan negara, sekali gus menjadi asas penting kepada pembentukan belia Malaysia yang berkualiti.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari (gambar) berkata, RPN 2026–2035 tidak hanya menumpukan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya memberi penekanan menyeluruh terhadap pembentukan sahsiah, nilai murni, kemahiran insaniah, kepimpinan serta daya tahan diri dalam kalangan generasi muda.
"Pendidikan yang kukuh merupakan asas utama kepada pembangunan belia yang seimbang, berdaya saing dan mampu menyumbang secara bermakna kepada masyarakat serta negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan penekanan RPN terhadap pembangunan bakat, kemahiran masa depan, penguasaan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), inovasi serta pembelajaran sepanjang hayat amat selari dengan keperluan dan aspirasi belia masa kini.
Menurutnya, inisiatif itu diyakini mampu melahirkan generasi muda yang berkeupayaan berfikir secara kritis, bersifat adaptif dan berani meneroka peluang baharu dalam landskap ekonomi serta sosial yang sentiasa berubah.
Sehubungan itu, Dr Taufiq mengalu-alukan kerjasama strategik antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selari dengan pelaksanaan RPN 2026–2035.
"Kerjasama strategik ini dapat memberi penumpuan kepada kesinambungan pembangunan belia daripada alam pendidikan ke fasa latihan kemahiran, kepimpinan, kesukarelawanan, keusahawanan serta kebolehpasaran pekerjaan," ujarnya.
Beliau turut menegaskan kejayaan pelaksanaan RPN 2026–2035 memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, pendidik, ibu bapa, institusi pendidikan, masyarakat sivil serta golongan belia sendiri.
"RPN ini akan menjadi asas kukuh dalam membentuk generasi belia Malaysia yang berkualiti, berdaya tahan dan bersedia memimpin negara ke arah masa depan yang lebih mampan, progresif dan sejahtera," katanya lagi.









Comments