Tapak sampah haram berdekatan laluan paip gas dipantau
- Suara Keadilan
- Apr 6
- 1 min read

Kerajaan Negeri Sembilan akan meningkatkan penguatkuasaan ke atas lokasi pembuangan sampah haram di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar berkata, langkah itu susulan kebakaran di lokasi pembuangan sampah haram di Bukit Sendayan berhampiran laluan saluran paip gas tiga hari lalu.
"Pihak tidak bertanggungjawab telah membakar sampah di Sendayan dalam jarak kira-kira 50 meter dan berdekatan dengan paip gas.
"Laluan paip gas ini memang sudah ada berpuluh tahun lepas dan di negeri ini, ia banyak membabitkan taman perumahan dan industri di kawasan pentadbiran Seremban dan Port Dickson.
"Itu adalah sangat berbahaya," katanya dalam kenyataan.
Arul Kumar sebelum ini memaklumkan Kerajaan Negeri akan berusaha sebaiknya dalam memastikan semua saluran paip gas berhampiran kawasan perumahan dan industri berada dalam keadaan baik.
Bagi memastikan keselamatan semua pihak, Kerajaan Negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa memantau dan meninjau semua saluran paip gas berkenaan.
Sementara itu beliau yang juga ADUN Nilai menegaskan, semua PBT telah diminta membuat rondaan lebih kerap di kawasan perumahan dan industri terlibat bagi membolehkan lokasi saluran gas yang diceroboh dapat dikesan lebih cepat untuk mengelakkan perkara tidak diingini.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pembuangan dan pembakaran sampah haram terutama di kawasan berisiko tinggi juga diminta melaporkan kepada pihak berkuasa.
Comments