top of page

Tapak perkuburan Islam Semenyih kekal di bawah JAWI, bukan swasta

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 3 min read

Projek Pembangunan Tanah Perkuburan Islam Wilayah Persekutuan di Mukim Hulu Semenyih akan kekal diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan bukannya syarikat swasta seperti didakwa segelintir pihak.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannha Yeoh (gambar) berkata projek itu dilaksanakan di atas tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan seluas 332.6 ekar menerusi kaedah kerjasama awam swasta, namun hak milik tanah berkenaan kekal di bawah Kerajaan Persekutuan manakala pengurusan, pentadbiran dan operasinya akan terus dikendalikan oleh JAWI.


"Tanah tapak projek ini kekal sebagai milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.


"Pengurusan, pentadbiran dan operasi Tapak Perkuburan Islam tersebut kekal di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan bukannya diuruskan oleh mana-mana syarikat," katanya dalam kenyataan melalui hantaran di Facebook.


Penjelasan itu dibuat susulan polemik yang tercetus selepas Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim dan aktivis politik pembangkang membangkitkan pelbagai dakwaan berhubung pembangunan tapak perkuburan berkenaan termasuk isu penglibatan pihak swasta serta pembinaan jalan pintas di kawasan itu.


Menurut Hannah, kerajaan mengambil maklum kekeliruan yang tular di media sosial dan menegaskan projek itu bukanlah projek baharu, sebaliknya telah dirancang sejak 2005 bagi memenuhi keperluan jangka panjang tanah perkuburan Islam untuk warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.


"Kerajaan ingin menegaskan bahawa projek ini telah lama dihasratkan iaitu sejak tahun 2005 demi kebajikan rakyat, dengan objektif utama menangani dua isu kritikal iaitu kekurangan tapak perkuburan Islam bagi warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Semenyih," katanya.


Hannah berkata pembangunan itu dilaksanakan melalui kerjasama awam swasta bagi membolehkan kerajaan memperoleh sebuah tapak perkuburan moden lengkap dengan pelbagai kemudahan tanpa menanggung kos pembangunan infrastruktur.


Katanya, perjanjian pembangunan itu sebahagiannya melibatkan tanggungjawab pemaju menanggung sepenuhnya kos penyediaan kuarters, surau, pejabat pentadbiran, kafeteria, tandas, rumah pengawal serta kerja-kerja tanah bagi 104,470 plot perkuburan Islam untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.


Mengulas keperluan projek itu, Hannah berkata kapasiti tanah perkuburan Islam sedia ada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah melebihi 70 peratus penggunaan.


"Sehingga Jun 2023, hanya kira-kira 29 peratus atau 34,496 lot masih berbaki dan dijangka hanya mampu menampung keperluan sehingga sekitar tahun 2032.


"Justeru itu, penyediaan tapak perkuburan baharu merupakan keperluan mendesak bagi menjamin kebajikan umat Islam pada masa hadapan," katanya.


Beliau berkata projek berkenaan bukan sahaja memenuhi keperluan warga Wilayah Persekutuan, malah turut memberi manfaat kepada masyarakat setempat.


"Selain memenuhi keperluan warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, projek ini turut memberi manfaat kepada komuniti setempat apabila 10 peratus daripada kapasiti tapak perkuburan diperuntukkan bagi tujuan pengebumian penduduk sekitar di negeri Selangor, sebagai manifestasi komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memastikan pembangunan ini memberi manfaat bersama kepada masyarakat."


Hannah turut menjelaskan pembinaan jalan pintas sepanjang 4.3 kilometer dari Jalan Sungai Lalang ke Lebuhraya SILK tidak membabitkan perbelanjaan kerajaan.


"Kos keseluruhan projek jalan pintas berjumlah RM93.89 juta bukan ditanggung oleh Kerajaan, sebaliknya dibiayai oleh pemaju sebagai syarat pembangunan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor."


Katanya, pembinaan jalan pintas itu bertujuan mengurangkan kesesakan trafik di Semenyih selain menyediakan laluan alternatif yang lebih lancar kepada penduduk setempat.


Beliau berkata projek berkenaan juga telah melalui penilaian teknikal, penarafan nilai (Value Management Lab) serta proses kelulusan Kerajaan Negeri dan Persekutuan sebelum dilaksanakan.


"Setiap keputusan yang dibuat adalah berlandaskan kepentingan awam bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, di samping menyediakan kemudahan asas yang lebih baik untuk generasi akan datang," katanya.


Untuk rekod, Suara Keadilan telah mengemukakan pertanyaan kepada Jabatan Wilayah Persekutuan berhubung bentuk pulangan pelaburan (ROI) yang diperoleh pihak pemaju setelah membangunkan projek tapak perkuburan Islam itu, termasuk pembinaan jalan pintas yang menjadi syarat kelulusan pembangunan ditetapkan oleh Kerajaan Selangor.


Penjelasan lanjut berhubung perkara itu akan dikemas kini sebaik sahaja maklum balas rasmi diterima daripada Jabatan Wilayah Persekutuan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page