Tapak baharu 9.8 ekar dibangunkan, atasi kesesakan perkuburan di Sungai Tua
- Suara Keadilan

- Dec 29, 2025
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah proaktif menangani isu kesesakan tanah perkuburan Islam dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Tua.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, lebih 7,000 lot tanah kubur akan disediakan di sebuah tapak perkuburan baharu seluas 9.8 ekar di Sungai Kertas untuk kemudahan umat Islam kawasan tersebut.
"Melalui pelaksanaan fasa pertama, sekurang-kurangnya 600 lot kubur dapat disiapkan dan digunakan dalam masa terdekat. Ini akan memberi manfaat kepada penduduk sekitar DUN Sungai Tua khususnya kariah Masjid Jamiatus Solahiah, Masjid Nakhoda dan Masjid Wira Damai," katanya dipetik.
Amirudin sebelumnya meninjau tapak perkuburan baharu berkenaan bersama Pengarah Jabatan Landskap Majlis Perbandaran Selayang (MPS), LAr. Mokhtar Affandi Abdul Ghani serta Ketua Kampung Sungai Tua Baharu Gombak, Zulkifli Hamzah
Terdahulu, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak memaklumkan terdapat 30 Tanah Perkuburan Islam berkeluasan kira-kira 360 ekar yang telah diwartakan di daerah itu, namun sebahagiannya sukar digunakan kerana melibatkan kawasan berbukit dan bercerun.
Sehubungan itu, usaha berterusan sedang digerakkan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mengenal pasti tapak baharu yang lebih luas, selamat dan sesuai demi menjamin kebajikan umat Islam secara berterusan, selaras prinsip Kerajaan MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua sementara itu menjelaskan, tanah perkuburan baharu dibawah seliaan MPS itu diunjurkan mampu menampung keperluan penduduk sekurang-kurangnya bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.









Comments