top of page

Tanya Menteri UMNO, tanah perkuburan Islam tidak wajar dipolitikkan - Hannah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 days ago
  • 2 min read

Isu penyediaan tanah perkuburan Islam bagi warga Wilayah Persekutuan di Semenyih, Selangor tidak wajar dijadikan bahan politik kerana ia melibatkan keperluan rakyat dan perancangan jangka panjang kerajaan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh (gambar) berkata keputusan mendapatkan tanah tambahan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira keperluan masa depan berikutan kapasiti tanah perkuburan Islam di Kuala Lumpur yang semakin terhad.


"Di Kuala Lumpur, kita tidak cukup tanah perkuburan Islam untuk menampung kapasiti pada masa akan datang. Disebabkan itu, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Kabinet membuat perancangan mendapatkan tanah tambahan di Semenyih untuk dijadikan kawasan tanah perkuburan.


"Tanah perkuburan Islam ini juga berkait dengan proses membina satu jalan yang akan menyelesaikan masalah trafik yang sangat serius di Semenyih sekarang," katanya memetik laporan media tempatan selepas sesi turun padang di Kompleks Krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Cheras, Kuala Lumpur hari ini.


Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud.


Menurut Hannah, selepas tanah perkuburan berkenaan siap disediakan, pengurusannya akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).


Terdahulu beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh membidas tindakan aktivis parti pembangkang, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard serta Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim yang didakwa cuba mempolitikkan isu tersebut dengan mengaitkannya dengan sentimen kaum dan parti politik.


Hannah menjelaskan keputusan mendapatkan tanah tambahan untuk tapak perkuburan Islam itu adalah keputusan Kabinet yang turut dianggotai menteri daripada UMNO.


"Saya mahu beritahu Gulam...ini adalah keputusan Kabinet. Gulam daripada UMNO dan menteri-menteri UMNO ada dalam Kabinet.


"Daripada tanya saya dan mempolitikkan isu ini yang dikaitkan dengan Cina dan DAP, adalah lebih baik beliau tanya menteri UMNO dalam Kabinet," katanya.


Beliau menegaskan, isu tanah perkuburan sama ada bagi umat Islam mahupun bukan Islam tidak sepatutnya dijadikan medan pertikaian politik kerana ia merupakan tanggungjawab asas kerajaan kepada rakyat.


Menurutnya, kerajaan perlu memastikan kemudahan berkaitan kehidupan dan kematian rakyat dapat disediakan tanpa mengira agama atau latar belakang.


"Saya tahu ketika ini sedang berlangsung PRN, jadi isu-isu seperti ini dimainkan sehingga tanah perkuburan pun dijadikan isu kerana menteri Cina.


"Ini semua tidak perlu dan harus dihentikan. Ketika ini, kita sedang jaga rakyat tanpa mengira agama Islam mahupun bukan Islam. Keperluan hidup dan mati, semua kita akan jaga," katanya.


Dalam pada itu, Hannah berkata pihaknya akan membuat laporan polis terhadap Chegubard dan Gulam berhubung dakwaan yang dibuat mengenai isu berkenaan.


Sebelum ini, Chegubard mendakwa sebuah syarikat yang mengurus pengebumian bukan Islam mendapat hak bersama JWP bagi perjanjian mengurus tapak perkuburan Wilayah Persekutuan.


Gulam pula mendakwa projek tanah perkuburan berkenaan akan diswastakan kepada syarikat luar yang boleh menyebabkan peningkatan kos pengebumian.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page