Wanita KEADILAN berjaya menganjur kongres secara atas talian yang pertama di Malaysia.
Menurut Ketua Wanita KEADILAN, Fuziah Salleh, biar pun pada peringkat awal terdapat beberapa masalah teknikal ketika perwakilan mula memasukki akaun zoom namun menjelang petang semuanya beres dan tidak menjejaskan perjalanan sidang.
"Walau pertama kali anjur kongres secara maya kita membuktikan kita mantap, hebat dan berjaya sekali.
"Kita tidak ada bench mark, tidak ada best prectise. Kita tidak pernah buat macam ini. Kita yang pertama mempelopori dan kita berjaya melaksanakannya.
"Ini membuktikan wanita kita tahan diuji. Berilah tugasan di mana pun mereka akan mengambil cabaran sebagai satu peluang.
"Bertepatan sekali dengan tema Hari Wanita Sedunia 2021, iaitu 'Wanita Memilih Untuk Mencabar'. Kita terima dan kita ambil cabaran ini," katanya dalam ucapan penggulungan, petang tadi.
Ahli Parlimen Kuantan itu juga memuji Wanita KEADILAN kerana telah melupakan sepenuhnya tragedi pengkhianatan lebih setahun lalu dan muncul dengan hujah dan cadangan bernas untuk parti melangkah maju ke hadapan.
"Wanita juga membuktikan kita tidak tercalar pun dengan pengkhianatan, sehujung kuku pun tidak. Saya tengok tadi, kita lebih mantap dari dulu. Kita bangkit, kita as good as new.
"Dari pengamatan saya memang hebat. Saya mengulas perbahasan wakil Wanita negeri yang berani tampil. Saya teliti satu-satu, anda semua telah capai satu tahap ke hadapan. Dapat mengemukan hujah yang bernas. Pembahas tidak bercakap secara emosi tetapi dengan fakta.
"Saya akan membawa usul-sul yang dibahaskan ke Kongres Nasional pada Ahad nanti sewaktu penggulungan. Saya juga bangga dengan komitmen seluruh wanita hari ini," katanya.
Menurut Fuziah, jumlah yang berjaya log in ke akaun zoom seramai 369 perwakilan. Walaupun ramai tidak berjaya masuk namun jumlah itu, daripada 656 perwakilan sudah cukup sebagai korum dan membolehkan Wanita bermesyuarat.
Seramai 52 tetamu kehormat juga telah hadir.
Comments