Tanpa disiplin organisasi, 'orang berkumpul tidak tahu berbaris' - MB
- Suara Keadilan
- Jun 13
- 1 min read

Disiplin organisasi perlu menjadi asas utama dalam membentuk sebuah organisasi yang kukuh dan hebat, demikian tegas Datuk Seri Amirudin Shari.
Naib Presiden KEADILAN itu mengumpamakan, tanpa kefahaman yang jelas terhadap makna disiplin organisasi sesebuah gerakan hanya akan menjadi seperti 'gerakan pasar' tanpa arah.
"Sebagaimana perjuangan reformasi sebelum ini, kita hanya tahu jadi orang yang hanya berkumpul, tapi tak tahu berbaris, itu masalahnya.
"Kita boleh kumpul beramai-ramai, boleh bersorak, buat hiruk-pikuk, tapi kita gagal sebagai kerajaan, gagal juga untuk mengurus.
"Ini adalah cabaran penting untuk kita meneruskan kelangsungan dan kerangka perjuangan parti yang ingin membawa hasrat perjuangan reformasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden KEADILAN di Ames Hotel Melaka, petang semalam.
Menurut Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor, disiplin parti merupakan perkara asas yang menjadi pokok perbincangan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sejak lebih 15 tahun lalu.
"Untuk menjadi sebuah pengurusan parti yang tersusun, kita kena ada disiplin organisasi.
"Apa yang dibincang dalam mesyuarat, terkeluar dalam media dan terlepas kepada pihak lawan, inilah perkara yang lazim kita bincangkan.
"Jadi perkara utama untuk menjadi satu organisasi yang perkasa dan hebat, kita kena ada disiplin organisasi," tegas beliau lagi.
Untuk rekod Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden KEADILAN diadakan buat pertama kali di Melaka semalam dan akan dilanjutkan ke negeri negeri lain.
Comments