Tangkap sukarelawan GSF: AMANAH kecam Israel, desak dunia bertindak segera
- Suara Keadilan

- Oct 2
- 2 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel yang memintas, menaiki secara paksa serta menahan peserta Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar), menyifatkan serangan yang berlaku di perairan antarabangsa itu sebagai jenayah terang-terangan yang mencabuli undang-undang antarabangsa dan prinsip hak asasi manusia.
"Penahanan aktivis keamanan dan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang sedang berdepan kelaparan adalah perbuatan zalim, keji dan tidak berperikemanusiaan. Israel tidak mempunyai sebarang hak untuk menahan atau menghalang konvoi tersebut daripada meneruskan misi mereka
"Justeru, AMANAH menuntut agar semua aktivis yang kini ditahan oleh rejim Israel dibebaskan serta-merta," katanya dalam satu kenyataan.
Mohamad turut menegaskan bahawa dunia Arab khususnya tidak boleh terus bersembunyi di sebalik kecaman kosong.
Katanya, dunia Arab perlu bertindak mengambil tindakan susulan menghadapi kesombongan dan kekejaman Israel.
"Sudah tiba masanya langkah diplomatik yang tegas dan konkrit diambil untuk menamatkan kekejaman Israel. Dunia tidak boleh terus berdiam diri sementara jenayah kemanusiaan ini berlaku secara berulang kali di hadapan mata kita," tegas beliau.
Pada masa sama, AMANAH menyeru seluruh rakyat Malaysia mendoakan keselamatan aktivis antarabangsa termasuk rakyat Malaysia yang kini ditahan.
"Palestin adalah ujian moral kepada seluruh umat manusia, dan keberanian untuk mempertahankan hak rakyat yang tertindas ini mesti menjadi tanggungjawab bersama," katanya.
Menurut laporan Sinar Harian, setakat ini, 10 aktivis Malaysia ditahan tentera laut Israel di perairan antarabangsa. Mereka adalah Iylia Balqis, Musa Nuwayri dan Sul Aidil yang berada di atas Kapal Alma dipintas jam 9.44 malam waktu Gaza.
Sejurus selepas itu, Kapal Sirius yang dinaiki Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin dan Rusydi Ramli dipintas dan ditahan jam 9.47 malam waktu Gaza.
Manakala penyanyi popular, Zizi Kirana yang menaiki Kapal Huga dan sukarelawan Farah Lee dan Danish Nazram di atas Kapal Grande Blue turut menerima nasib sama.
Terbaharu, aktiviti dua beradik, Heliza san Hazwani yang berada di Kapal Hio disahkan ditahan oleh Israel sebentar tadi.









Comments