HIKAM kecam tindakan bakar kenderaan aktivis, tolak keganasan
- Redzuan Shamsudin

- 1 hour ago
- 2 min read

Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan membakar tiga buah kenderaan milik seorang individu dikenali sebagai Cikgu Chandra yang dilaporkan berlaku pada pagi ini.
Dalam satu kenyataan, HIKAM menyifatkan perbuatan tersebut sebagai satu bentuk keganasan dan vandalisme yang tidak boleh diterima dalam masyarakat yang menjunjung nilai keamanan serta kedaulatan undang-undang.
“Perbuatan sedemikian merupakan satu bentuk keganasan dan vandalisme yang sama sekali tidak boleh diterima dalam masyarakat yang menjunjung nilai keamanan, kedaulatan undang-undang serta keharmonian hidup bersama,” menurut kenyataan itu.
Menurut HIKAM, sebarang perbezaan pandangan atau ketidakpuasan hati tidak sepatutnya diselesaikan melalui tindakan melampau yang boleh mengancam keselamatan individu serta ketenteraman awam.
“Sebarang perbezaan pandangan, ketidakpuasan hati atau perselisihan tidak wajar diselesaikan melalui tindakan melampau, apatah lagi melalui keganasan yang boleh mengancam keselamatan individu serta ketenteraman awam,” katanya.
Sehubungan itu, HIKAM menyeru masyarakat supaya mengamalkan budaya dialog yang sihat dan matang bagi menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat.
“Pendekatan perbincangan yang rasional serta saling menghormati merupakan asas penting dalam membina masyarakat yang harmoni dan bertamadun,” menurut kenyataan tersebut.
HIKAM turut menegaskan bahawa umat Islam perlu menangani sebarang isu dengan mematuhi undang-undang serta menjunjung prinsip keadilan dan keamanan sebagaimana yang dianjurkan dalam ajaran Islam.
“Islam mengajar pendekatan wasatiyyah yang menolak sikap melampau serta menggalakkan penyelesaian yang bijaksana dan berhemah, khususnya dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia,” katanya.
Selain itu, HIKAM turut menasihatkan masyarakat Islam agar menjaga adab serta akhlak dalam menyuarakan pandangan, termasuk di media sosial, bagi mengelakkan ketegangan antara kaum dan agama.
Dalam masa sama, organisasi itu menegaskan komitmennya untuk terus mengangkat agenda perpaduan nasional sebagai asas dalam membina masyarakat yang saling menghormati dan hidup harmoni dalam kepelbagaian.
HIKAM turut berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan menyeluruh terhadap insiden tersebut serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab selaras dengan peruntukan undang-undang.
HIKAM merupakan himpunan empat NGO, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN).




Comments