"Tanggungjawab kita pastikan tragedi Zara tidak berulang" - Nurul Izzah
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Insiden kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir pada 16 Julai lalu telah menyentuh hati rakyat pelbagai lapisan, sekali gus menyatukan masyarakat di negara ini tanpa mengira perbezaan.
Bagi Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, beliau tidak akan berhenti memperjuangkan isu berkenaan sehingga orang yang bertanggungjawab, menerima hukuman setimpal dan persekitaran yang selamat untuk anak-anak dapat diwujudkan.
"Zara seperti anak kita semua. Peribadinya sopan, akhlaknya mulia dan merupakan seorang yang berpegang teguh pada ajaran agama.
"Pemergian Zara telah menyatukan kita semua merentasi sempadan dan perbezaan. Kita akan terus mengikuti dan memantau dengan rapat perkembangan terkini menerusi pengumuman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Jabatan Peguam Negara.
"Ini kerana setiap anak berhak untuk membesar dalam persekitaran selamat, bebas daripada ketakutan dan ancaman.
"Ini merupakan tanggungjawab kita bersama untuk terus cakna, melindungi, dan memastikan tragedi seperti ini tidak berulang lagi," katanya dalam satu muat naik di Facebook.
Terdahulu, Nurul Izzah bertemu dengan ibu Zara bagi mengucapkan salam takziah atas pemergian anakanda tercinta.
Katanya, dua minggu lepas, beliau terbang ke Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur untuk bertemu ibu Zara.
"Walau bagaimanapun, pada waktu itu, ibu Zara masih belum bersedia untuk berjumpa.
"Saya tidak memaksa, tetapi syukur hari ini saya diberi ruang untuk menyampaikan takziah kepadanya secara bersemuka.
"Ibu mana yang tidak sedih melihat anaknya pergi tak kembali. Sebagai seorang ibu, saya benar-benar merasa kesedihan yang ditanggung oleh ibu kepada adik Zara.
"Dia hanya mahu melihat Zara membesar seperti biasa, sihat, dan ceria," ujarnya.
Justeru, Nurul Izzah menyeru agar rakyat terus berdoa, usaha, dan bertawakal agar keadilan dan kebenaran buat Allahyarhamah Zara ditegakkan.
"Semoga roh anakanda Zara di tempatkan dalam kalangan orang yang beriman.. amin..," katanya.
Comments