Tanggungjawab keluarga antara halangan wanita sertai politik


Tanggungjawab penjagaan anak dan keluarga dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang membataskan penyertaan wanita dalam kepimpinan politik, berdasarkan Kajian Suara Wanita 2025/2026.
Pengarah Eksekutif Suluh Centre, Nadia Nazri berkata, kajian melibatkan 1,030 wanita di seluruh negara antara Disember 2025 hingga Jun 2026 mendapati 45.8 peratus responden menganggap komitmen keluarga dan tanggungjawab penjagaan sebagai halangan utama kepada penyertaan wanita dalam politik.
Menurutnya, isu penjagaan anak dan warga emas perlu dilihat lebih luas sebagai sebahagian daripada infrastruktur ekonomi negara, dan bukan hanya tanggungjawab keluarga.

"Wanita tidak memerlukan pihak lain untuk meyakinkan mereka mengenai kemampuan memimpin, sebaliknya halangan yang menghalang penyertaan mereka perlu difahami dan ditangani," katanya.
Wanita kurang diwakili di parlimen, DUN
Kajian itu turut mendapati 62.7 peratus responden berpandangan wanita masih kurang diwakili di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sebanyak 55.2 peratus pula berpendapat wanita memerlukan lebih banyak peluang untuk membuktikan keupayaan mereka, manakala 31.2 peratus menyifatkan wanita mempunyai keupayaan setara dengan pemimpin lelaki.
Nadia berkata, ketika ini wanita hanya memegang 30 daripada 221 kerusi terisi di Dewan Rakyat, bersamaan 13.6 peratus.
Dalam kajian sama, kos sara hidup muncul sebagai isu yang paling memberi kesan secara peribadi kepada responden, dengan 54.2 peratus memilihnya sebagai kebimbangan utama.
Ia diikuti peluang pekerjaan dan gaji sebanyak 25.1 peratus, manakala hutang isi rumah serta komitmen kewangan mencatat 18.8 peratus.
Laporan Kajian Suara Wanita berkenaan dilancarkan oleh isteri Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Suluh Centre cadang langkah konkrit
Bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam politik dan kepimpinan, Suluh Centre mencadangkan supaya cadangan minimum 30 peratus calon wanita yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada Jun lalu diperundangkan dengan garis masa pelaksanaan yang jelas.
Selain itu, Suluh Centre mencadangkan cuti penjagaan anak berbayar selama enam hari bagi setiap ibu dan bapa dirintis melalui syarikat berkaitan kerajaan sebelum dipertimbangkan untuk pindaan kepada Akta Kerja.
Program rintis pemformalan pengasuh turut dicadangkan bagi melatih penjaga tidak formal dan memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang mampu milik, khususnya di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.
Pelancaran Kajian Suara Wanita 2025/2026 dan Kanival Wanita Mendunia disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri Datok Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, baru baru ini.
Turut menyampaikan ucapan dalam program tersebut ialah Pengasas dan Pengerusi SULUH Centre, Nurul Izzah Anwar.




Comments