Tangguh Undi 18 penghinaan terhadap Dewan Rakyat - Ahli Parlimen pembangkang



Pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pelaksanaan Undi 18 dan hanya akan dikuatkuasakan menjelang 1 November 2022 merupakan satu penghinaan besar kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara.


Menurut kenyataan Ahli-ahli Parlimen pembangkang, keputusan itu memperlekehkan Perlembagaan Persekutuan dan merendahkan kebijakkan anak muda berumur 18 tahun memilih kerajaan.


"Kami mengecam sekeras-kerasnya keputusan SPR ini. Ia adalah satu penghinaan besar terhadap Dewan Rakyat dan Dewan Negara.


"Berdasarkan Perkara 43(3) Perlembagaan, di mana Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen maka keputusan ini adalah kegagalan bersama Jemaah Menteri.


"Perlu diingatkan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Takiyuddin adalah di antara 211 Ahli Parlimen yang telah bersama meluluskan pindaan ini. Oleh itu, Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Takiyuddin perlu meletakkan jawatan segera," kata kenyataan tersebut.


Ahli-ahli Parlimen pembangkang juga mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional berkenaan kronologi kelulusan pindaan Perlembagaan had undi 18 tahun itu yang melibatkan kerajaan dan pembangkang pada 2019, dan sewajarnya menteri kerajaan pada hari ini mengotakan janji mereka.


"Pada 16 Julai 2019, 211 Ahli-Ahli Parlimen iaitu 95 peratus Ahli Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mendaftar sebagai pengundi serta menjadi calon dalam pilihan raya.


"Pada 25 Julai 2019 pula, 47 Ahli-Ahli Dewan Negara iaitu lebih dua pertiga telah meluluskan pindaan yang sama.


"Pada 3 November 2020, Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang turut mengundi untuk pindaan ini berkata dalam satu jawapan di dalam Dewan Rakyat bahawa Undi 18 akan dilaksana menjelang Julai 2021," kata mereka lagi.


Namun kenyataan SPR semalam benar-benar satu tamparan hebat kepada demokrasi di Malaysia yang menolak mentah-mentah pelaksanaan Undi 18 bagi memberi kelebihan kepada parti pemerintah sekiranya PRU diadakan dalam masa terdekat.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Azis Jamman, Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau, Ahli Parlimen Selangau Baru Bian dan Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
10,710
153
5778
Total
916,561
7019
784,949

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
491,381
8,692
392,980
Total
186,407,192
4,028,301
168,805,736

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER