Tangguh PRN: Cadangan perlu dinilai secara realistik - Dr Fuziah
- Suara Keadilan

- Apr 22
- 1 min read

Cadangan penangguhan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor dinilai secara realistik, tegas Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar).
Beliau berkata, sebarang keputusan perlu mengambil kira realiti semasa serta tidak boleh ditangguhkan tanpa had, manakala parti politik perlu bersedia untuk berdepan pilihanraya apabila tiba waktunya.
"Let's face it when we need to face it (marilah menghadapinya apabila kita perlu menghadapinya).
"Sekiranya mahu ditangguhkan itu ialah kerana keadaan geopolitik, haruslah kita sedar keadaan geopolitik akan mengambil masa, tiada tempoh tertentu bila akan berakhir.
"Begitu juga dengan menangguhkan pilihanraya... ia juga ada tempoh tamatnya, bukan boleh ditangguhkan sampai bila-bila," katanya dipetik.
Dr Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata begitu kepada pemberita selepas menjadi tetamu program terbitan Bernama Radio, di Kuala Lumpur, semalam.
Beberapa pemimpin dari blok kerajaan sebelum ini mencadangkan supaya PRN di kedua-dua negeri itu ditangguhkan, susulan krisis bekalan tenaga global yang dihadapi dunia.
Penggal lima tahun Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijangka tamat pada Disember depan, manakala DUN Johor pula April 2027.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berpandangan tiada keperluan untuk menangguhkan PRN Melaka.
Beliau berkata, cadangan menangguhkan PRN itu tidak mempunyai asas kukuh untuk disokong, memandangkan tempoh pentadbiran kerajaan negeri akan berakhir hujung tahun ini.




Comments