Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan Malaysia untuk menangguhkan penghantaran pulang pelarian Myanmar sehingga pergolakan politik di negara tersebut reda.
Menurut kenyataan Majlis Presiden, Malaysia juga perlu mencadangkan dialog di antara tentera Myanmar dan pemimpin-pemimpin ASEAN bagi menyelesaikan tunjuk perasaan anti junta di negara itu dan krisis politik yang semakin memburuk.
"PH menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia perlu mempertimbang semula keputusan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar kerana tindakan sedemikian mengesah dan mengiktiraf pemerintahan junta tentera di Myanmar. Tindakan menghantar pulang pelarian ke zon konflik sebelum keadaan benar-benar stabil dan selamat mungkin menjejaskan keselamatan pelarian.
"PH juga menggesa Kerajaan Malaysia agar memulakan dialog di antara pemimpin-pemimpin ASEAN dan junta Myanmar bagi menghentikan kekerasan terhadap penunjuk perasaan, membebaskan semua tahanan politik, serta mengembalikan demokrasi dan institusi Parlimen di Myanmar," kata kenyataan berkenaan.
Menurut pemimpin kanan PH itu lagi, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menangguhkan penghantaran pulang pelarian selama 2 hari tidak menjamin para pelarian itu tidak akan dihantar selepas tempoh tersebut tamat.
Oleh itu, Majlis Presiden meminta kerajaan Malaysia berhubung dengan agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, UNHCR bagi menangani situasi memprihatinkan bagi pelarian Myanmar.
"Majlis Presiden mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan penghantaran pulang 1,200 warga Myanmar ditangguhkan selama dua hari. Walau bagaimanapun, keputusan ini tidak menghalang Kerajaan Malaysia dari meneruskan tindakan menghantar pulang setelah tamat tempoh tersebut.
"Pada masa yang sama, PH dimaklumkan tentang kemungkinan terdapat sejumlah kanak-kanak dari kalangan 1,200 warga Myanmar ini yang bakal dihantar pulang dan dipisahkan dari ibu bapa mereka. Jika benar, ini adalah satu keadaan yang membimbangkan.
"Kami memohon pihak berkuasa dengan kerjasama UNHCR segera mengesahkan sama ada perkara ini benar atau tidak," kata mereka lagi.
Untuk rekod, situasi politik di Myanmar bertambah buruk dengan tentera melepaskan tembakan ke atas penunjuk perasaan dua hari lalu menyebabkan kematian rakyat awam.
Situasi berkenaan sangat tidak wajar bagi negara itu diyakini akan menerima pelarian dengan baik.
Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Comments