Tangani ugutan guna deepfake, perkukuh pertahanan digital - AMK
- Suara Keadilan

- Sep 15
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Biro Guaman dan Aduan Awam Angkatan Muda KEADILAN (AMK) memandang serius siri ugutan internet menggunakan teknologi deepfake yang menyasarkan beberapa pemimpin negara.
Ketuanya, Khairul Naim Rafidi (gambar) berkata, ancaman tanpa senjata itu berupaya menjatuhkan reputasi, melemahkan keyakinan rakyat dan menggugat kestabilan politik negara.
"Jika pemimpin negara sendiri boleh diugut sebegini, rakyat biasa lebih mudah menjadi mangsa," tegasnya.
Semalam, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengesahkan menerima emel ugutan dengan tangkap layar video palsu berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Ugutan sama turut diterima oleh beberapa pemimpin termasuk Datuk Seri Rafizi Ramli, Wong Chen, Dr Taufiq Johari, Adam Adli, Najwan Halimi, Senator Manolan Mohamad, Wong Chia Zen dan Dr Fahmi Ngah.
Sehubungan itu, Khairul Naim menerusi kenyataan tersebut menggesa kerajaan untuk memperkukuh penguatkuasaan dengan menambah kepakaran forensik digital di PDRM, SKMM dan agensi berkaitan.
AMK turut menggesa supaya semua kes ugutan deepfake disiasat tanpa mengira latar belakang mangsa.
"Selain itu, kerajaan wajar menyemak semula Akta Keterangan dan Akta Jenayah Komputer 1997 agar bukti digital lebih kukuh serta hukuman lebih setimpal.
"Pasukan khas berprofil tinggi dan talian aduan nasional juga perlu diwujudkan dan perlindungan rakyat diperketat melalui protokol keselamatan digital dan kempen kesedaran nasional agar tidak mudah diperdaya," katanya lagi.
Sehubungan itu tegas beliau, AMK Malaysia menyatakan pendirian menolak sebarang bentuk ugutan serta percubaan melemahkan demokrasi melalui manipulasi teknologi.









Comments