Tangani Ketirisan Ekonomi Bumiputera - Anwar Ibrahim


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya menangani ketirisan yang memberi kesan kepada ekonomi Bumiputera ketika ini.


Beliau berkata, kerajaan mesti mengkaji pendekatan baharu untuk membantu masyarakat Bumiputera dengan menghapuskan dasar yang hanya memperkaya golongan elit dan golongan politik.


"Kerajaan perlu menyiasat dan mendedahkan bagaimana berbilion saham dan tanah Bumiputera telah hilang lantaran dari ketirisan dan bocor kepada individu-individu tertentu yang tidak bertanggungjawab.


"Siapakah penerima saham Bumiputera selain yang diperuntukkan untuk badan-badan Bumiputera? Apakah kedudukan terkini tanah rizab Melayu yang telah dijual dan tidak diganti?


"Walaupun inisiatif dan rancangan kerajaan untuk terus membantu Bumiputera memang disambut baik, rencana ini akan terus gagal jika ia tidak menyasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.


"Keistimewaan yang dimaksudkan untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi Bumiputera telah diperalat untuk hanya memperkayakan golongan elit dan terus melebarkan jurang pendapatan antara yang kaya dan yang miskin," katanya dalam kenyataan.


Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, peningkatan penyertaan Bumiputera dan kumpulan minoriti lain dalam ekonomi dan industri hanya boleh dicapai dengan baik melalui pelaburan dalam peningkatan kapasiti, selain latihan kemahiran dan pendidikan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).


"Kerajaan harus menumpukan perhatian untuk merancakkan lapangan-lapangan utama ekonomi dan memberikan dukungan yang secukupnya kepada perusahaan kecil dan sederhana.


"Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) mesti dikendalikan oleh tokoh-tokoh profesional yang berkelayakan dengan kepakaran dalam perniagaan sementara kedudukan pengurusan kanan tidak boleh ditentukan berdasarkan kecenderungan politik tetapi mesti atas asas merit yang jelas dan pencapaian masing-masing.


"Dalam usaha RMK-12 membantu golongan yang benar-benar berkelayakan dan mereka yang terpinggir, kerajaan perlu segera menjalankan kajian yang bebas dan inklusif mengenai punca sebenar mengapa sebahagian besar kaum Bumiputera masih terus derita dan melarat meski diperuntukkan dana ekonomi dan pendidikan yang sangat besar kepada mereka untuk beberapa dasawarsa yang lalu," katanya.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio