
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menggesa kerajaan supaya menangani kesesakan banduan di penjara ketika ini.
Beliau berkata, perkara itu perlu ditangani segera memandangkan bilangan banduan meningkat sejak Covid-19 melanda negara.
"Kalau dilihat jabatan penjara sendiri, sasaran mereka adalah 25,000 banduan menjelang 2020, ini sebelum Covid-19 melanda.
"Jadi adakah kerajaan akan membantu mempercepatkan untuk mencapai sasaran ini, kerana tempoh ini tempoh paling berisiko untuk menangani kesesakan dalam penjara," katanya di Dewan Rakyat.
Beliau mengulas penggulungan Belanjawan 2021 melibatkan peruntukan dibawah Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin.
Pada masa sama, Izzah juga meminta Hamzah supaya melibatkan ahli parlimen dalam menangani isu penjara.
"Dalam rang undang-undang boleh dimasukkan juga libat urus dengan ahli parlimen kerana kami juga berminat untuk mengadakan projek rintis di lapangan.
"Ini amat penting supaya boleh bertukar-tukar pandangan, insya-Allah ini dapat mencipta kesedaran," katanya.
Comments