top of page

Tangani keganasan sekolah: Tempatkan polis, naik had umur guna media sosial

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 14 hours ago
  • 2 min read

ree

Kerajaan akan memperketatkan kawalan dan peraturan bagi pelajar sekolah untuk mengelak jenayah keganasan juvana daripada terus berulang.


Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, hal itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan beberapa pendekatan akan dilaksanakan segera termasuk menghadirkan anggota polis (PDRM) di sekolah, dan pemeriksaan secara spot check ke atas barangan peribadi murid dilakukan pada setiap minggu.


"Kehadiran anggota PDRM akan dapat memberikan satu isyarat bahawa sekolah kita adalah tempat yang selamat.


"Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia juga akan mengeluarkan satu pedoman kepada sekolah untuk melaksanakan spot check secara mingguan, pada bila bila masa," katanya dalam sidang media di Putrajaya petang ini.


Dalam pada itu, kerajaan juga, kata Fahmi bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji permasalahan yang dihadapi sekolah sehingga berlaku pelbagai jenayah seperti buli, rogol dan bunuh dalam tempoh beberapa bulan ini.


"Keperluan mengadakan kajian penuh terhadap isu isu yang dihadapi sekolah, dan ini akan diusahakan oleh sebuah jawatankuasa khas, dan laporannya akan disediakan dalam masa terdekat, secepat mungkin untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk diputuskan selanjutnya," ujar beliau.


Selain itu dalam isu yang bersangkutan, Fahmi memaklumkan bahawa had usia remaja dibenarkan menggunakan media soisal dicadangkan untuk dinaikkan daripada 13 tahun pada waktu ini kepada 16 tahun, bagi mengelakkan individu terlalu muda terdedah kepada pengaruh negatif di platform berkenaan.


"Jemaah Menteri juga membincangkan had umur pengguna media sosial yang sebelum ini 13 tahun. Jemaah Menteri hari ini bincangkan cadangan untuk menaikkan ke 16 tahun. Ini sama seperti dilakukan beberapa negara seperti Australia dan Indonesia.


"Cara had umur ini dikuatkuasakan melalui pendaftaran dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, passport dan juga MyDigitalID.


"Pihak MCMC akan mengadakan perbincangan lebih mendalam dengan platform media sosial di Singapura (selepas ini)," katanya lagi.


Sebelum ini, media sosial didakwa menjadi medium yang menyebabkan remaja pada usia muda meniru tingkah laku buruk dan menerima bulat bulat pengaruh media sosial ke dalam ruang pandang dunia mereka.


Oleh itu had umur yang lebih tinggi dan kematangan wajar diutamakan untuk seseorang boleh menapis unsur negatif yang terkandung dalam platform berkenaan.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page