Kulasegaran dituntut beri penjelasan bersama aktivis didakwa di mahkamah
- Akmal Manaf

- Mar 17
- 1 min read

Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) KEADILAN menuntut penjelasan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran yang dilihat bersama aktivis, Arun Dorasamy di Mahkamah Majistret Jawi pagi tadi.
Pengerusi BiPPA, Amidi Abdul Manan (gambar) berkata, kehadiran Kulasegaran mengundang pelbagai tafsiran dan selaku anggota pentadbiran bertaraf Timbalan Menteri, beliau seharusnya sensitif dengan kesan terhadap keberadaannya di tempat awam yang boleh memberikan kesan terhadap imej kerajaan.
"Di mata awam kehadiran beliau secara jelas membawa maksud beliau menyokong dan membenarkan segala tindakan Arun walaupun mahkamah baru memulakan proses perbicaraan.
"Adakah beliau mewakili pendirian Kerajaan Malaysia dalam isu kontroversi ini? Jangan berikan alasan kehadiran beliau adalah atas kapasiti peribadi kerana beliau masih anggota pentadbiran kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.
Arun dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan sebuah video di aplikasi Whatsapp.
Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membuat kenyataan menyebabkan kegentaran awam pada tahun lalu.
Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret Nurul Aina Ahmad di Mahkamah Majistret Jawi.
Mengikut pertuduhan, beliau yang berusia 56 tahun didakwa membuat kenyataan dengan niat hendak menyebabkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam yang mana, kenyataan tersebut telah dilihat dan didengar oleh Nor Al Firdaus Nor Al Huda.
Oleh demikian, tertuduh didakwa telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan [Akta 574].




Comments